Input your search keywords and press Enter.

KKMM Nafi 3 Laporan Berita Palsu

M Update, 30/3/2020 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini menafikan tiga laporan berita palsu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab berkaitan penularan wabak COVID-19.

Pasukan Respons Pantas KKMM dalam satu kenyataan menegaskan, berita palsu itu termasuk kononnya akan berlaku penyebaran COVID-19 gelombang ketiga mulai 31 Mac ini. Katanya, satu lagi berita palsu mendakwa Kementerian Kesihatan meminta orang ramai tidak keluar rumah pada musim hujan dan waktu senja kononnya virus berkenaan mudah tersebar ketika itu.

“Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan akan berlaku penyebaran virus COVID-19 gelombang ketiga pada 31 Mac 2020 dan seruan agar orang ramai jangan keluar rumah pada musim hujan dan waktu senja kerana virus COVID-19 mudah tersebar pada waktu itu.

“Kementerian Kesihatan turut menafikan mempunyai hubungan dengan pihak yang memohon bantuan peralatan perubatan serta makanan untuk kumpulan berisiko tinggi di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang membuat saringan sampel COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pasukan terbabit menegaskan, Jabatan Kesihatan Perlis (JKNPs) menafikan jabatan berkenaan, Hospital Tuanku Fauziah dan klinik kesihatan di Perlis mempunyai kaitan dengan hebahan risalah oleh Kelab Staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang meminta sumbangan pakaian untuk barisan hadapan, peralatan, makanan serta keperluan lain. -BH Online

Leave a Reply