Input your search keywords and press Enter.

Patuhi Arah Tangguh Aktiviti Di Masjid, Surau

M Update, 31/3/2020 – Pengurusan surau dan masjid perlu prihatin terhadap arahan penangguhan aktiviti di surau dan masjid masing-masing, selaras perintah sebelum ini.

Mereka juga perlu memastikan sebahagian daripada peruntukan tabung kariah dimanfaatkan oleh anak kariah terbabit. Ia adalah antara enam ketetapan yang dicapai Persidangan Khas Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Malaysia 2020 semalam, membabitkan sumbangan dan penyelarasan berkaitan hal ehwal Islam di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata mesyuarat disertai Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan wakil di peringkat negeri secara langsung dan sidang video. Katanya, ada beberapa perkara berhubung sumbangan dan penyelarasan dipersetujui untuk dilaksanakan di seluruh negara.

“Semua pihak perlu prihatin berhubung penangguhan aktiviti di surau dan masjid termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah serta perlu akur dengan ketetapan ini. Sebahagian daripada peruntukan tabung masjid perlu dimanfaatkan untuk anak-anak kariah terutamanya di kawasan kampung.

“Jawatankuasa masjid dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti anak kariah yang tidak berstatus asnaf tetapi memerlukan bantuan, bagi memudahkan penyaluran sumbangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli berkata, mesyuarat juga menetapkan masjid dijadikan sebagai pusat komuniti bagi pengagihan bantuan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan. Katanya, semua masjid dan surau perlu melaksanakan operasi pembersihan dan nyah kuman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini selain cadangan pemasangan bacaan al-Qur’an di masjid sebelum azan akan diperincikan lebih lanjut oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Semoga usaha seperti ini diberi pahala oleh Allah SWT,” katanya. – BH Online

Leave a Reply