Input your search keywords and press Enter.

PKP : Operasi Premis Perniagaan 8 Pagi Hingga 8 Malam Bermula 1 April

M Update, 30/3/2020 – Operasi semua premis perniagaan menjual barangan keperluan asas dan komoditi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu bagaimanapun memperuntukkan operasi pengangkutan awam dikekalkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan SOP fasa kedua berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti yang dilaksanakan di Simpang Renggam, Kluang dan Hulu Langat.

“PKPD menggariskan sesiapa pun tidak boleh keluar rumah, tetapi SOP baharu bagi fasa kedua ini jauh sekali daripada perintah berkurung yang diuar-uarkan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

“Menerusi SOP baharu bagi fasa kedua berkuat kuasa 1 April ini, orang ramai masih boleh bergerak atau keluar untuk mendapatkan barangan keperluan asas, tetapi mengikut tempoh ditetapkan. Bagaimanapun, kita tetapkan hanya seorang yang boleh berada dalam kenderaan ketika keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan asas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata, syarat lain seperti larangan berkumpul di kedai makan dan hanya kaedah bungkusan dibenarkan, masih berkuat kuasa menerusi SOP fasa kedua PKP.

Bagi mengurangkan risiko penularan, beliau menyarankan orang ramai menggunakan kaedah pembelian secara dalam talian, selain mengamalkan penjarakan sosial ketika mengambil barangan atau bungkusan ketika dihantar ke rumah masing-masing.

“Kita kekalkan operasi pengangkutan awam kerana sedar masih ramai memerlukannya, terutama pekerja di sektor perkhidmatan penting atau kritikal negara.Oleh itu, semua kenderaan awam termasuk teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Bagi menjamin kelangsungan operasi bekalan barangan keperluan asas, Ismail menyarankan semua operator menjalankan perkhidmatan penghantaran, sama ada jarak jauh atau dekat dari jam 7 malam hingga 7 pagi. Beliau menegaskan, garis panduan itu sekadar galakan kepada operator perkhidmatan berkaitan memandangkan segelintir daripadanya terpaksa melakukan perjalanan jarak jauh seperti dari Johor Bahru ke Perlis.

Menyedari keperluan segelintir masyarakat kerana keadaan kesihatan, katanya, kerajaan memberi pengecualian kepada orang kelainan upaya (OKU) dan penghidap penyakit autisme untuk melakukan aktiviti riadah di luar seperti dinasihatkan doktor.

“Kelonggaran ini bagaimanapun tidak membenarkan mereka beriadah atau berada di luar secara berkumpulan. Riadah dan sosial untuk orang lain adalah tidak dibenarkan, termasuk penghuni di komuniti berpagar kerana kita tidak mahu ada sebarang perbezaan dalam SOP yang digunakan,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply