M Update, 8/4/2020 – Ketika ramai masih mencari kit ujian pantas Covid-19, ada pihak dikesan cuba mengambil kesempatan menawarkan peralatan itu tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sejak beberapa hari lalu, terdapat beberapa iklan di Facebook (FB) menawarkan orang ramai kit ujian pantas Covid-19 dengan harga RM99 jauh lebih murah daripada bayaran dikenakan hospital swasta.
Iklan itu juga mendakwa kit ujian itu mampu memberikan keputusan dalam tempoh tiga minit berbanding beberapa jam mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM dan hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan itu.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini tiada kit ujian Covid-19 dibenarkan dijual secara terbuka kepada orang ramai. Menurutnya, KKM juga tidak mengeluarkan sebarang kebenaran kepada mana-mana syarikat menjual kit ujian pandemik berkenaan.
“Setakat ini tidak ada yang boleh digunakan untuk pengesanan (Covid-19) kerana tidak ada kelulusan untuk diagnosa,” katanya.
Dr Noor Hisham juga mengingatkan orang ramai berwaspada dengan tawaran kit ujian pantas yang dijual di laman sosial dan disaran mendapatkan maklumat lanjut daripada KKM. Hasil penelitian Harian Metro mendapati iklan menjual kit ujian itu mula tular sejak beberapa hari lalu menerusi FB mendapat respon daripada warga maya. Kebanyakan mereka berminat mengetahui keberkesanan dan harga kit ujian dipercayai dari China itu.
Malah, ada dakwaan menyatakan kit ujian dijual masih dalam tempoh percubaan dan tidak memiliki data sahih keberkesanan peralatan itu. KKM sebelum ini memutuskan selain hospital, pusat kesihatan kerajaan serta hospital swasta juga dibenarkan menawarkan ujian saringan Covid-19 dengan bayaran dianggarkan lebih RM500 dan perlu ditanggung sendiri mereka yang mahu diuji.
Ini bagi mengurangkan beban makmal saringan digunakan KKM selain mampu memberikan keputusan lebih cepat agar tindakan lanjut dapat dilakukan. – HM ONline