Input your search keywords and press Enter.

Hati-Hati Guna Aplikasi Sidang Video, Elak Serangan Siber – Polis

M Update, 9/4/2020 – Semua agensi kerajaan diminta supaya berhati-hati menggunakan aplikasi dalam talian berhubung ancaman serangan siber sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman. Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya ada menerima surat peringatan daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang mengingatkan semua pihak berhati-hati dengan serangan siber oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini termasuk peringatan supaya berhati-hati menggunakan aplikasi dalam talian termasuk platform persidangan video, Zoom yang mana ia boleh dimuat turun secara percuma. Setakat ini semua mesyuarat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menggunakan platform berkenaan.

“Saya difahamkan aplikasi ini popular untuk mengadakan kelas dan mesyuarat secara dalam talian susulan pelaksanaan PKP,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Terdahulu, satu peringatan kepada semua agensi kerajaan mengenai ancaman serangan siber tular di media sosial, baru-baru ini. Beberapa hari lepas turut heboh di media mengatakan aplikasi Zoom didakwa mendedahkan data peribadi pengguna dan berhadapan dengan isu keselamatan.

Dalam pada itu, Acryl Sani turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati melakukan sebarang transaksi secara dalam talian.

“Orang ramai diingatkan bahawa tiada agensi kerajaan (seperti PDRM, Bank Negara, Jabatan Imigresen atau kastam) mahupun perbankan berurusan melalui telefon dan meminta butiran peribadi kita. Panggilan telefon hanya dibuat untuk menetapkan temu janji perjumpaan dan urusan selebihnya diadakan di balai polis atau premis bank berkenaan,” tegas beliau.

Justeru, katanya orang ramai diminta lebih berhati-hati sekiranya mendapati panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai pegawai kerajaan ataupun bank.

Leave a Reply