Input your search keywords and press Enter.

Ketegasan Anwar Suarakan Isu Konflik Israel-Palestin Lambang Keamanan Sejagat

M Update, 16/05/2024 – Ketegasan Malaysia memperjuangkan isu palestin yang berterusan dizalimi Israel bukanlah kerana mahu menjadi jaguh sebaliknya dilakukan atas dasar tanggungjawab membela umat Islam.

Ketegasan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam konflik Israel-Palestin adalah lambang keamanan sejagat yang perlu dipertahankan.

“Perjumpaan Perdana Menteri dengan dua tokoh penting Hamas, iaitu Ketua Biro Politiknya, Ismail Haniyeh diiringi bekas ketua pergerakan itu, Khaled Masyal juga melambangkan dasar luar Malaysia yang sentiasa terbuka.

“Ketegasan beliau juga menyerlahkan dasar luar negara yang sentiasa terbuka dalam memastikan keadilan ekonomi dan sosial dipelihara,”.

Semalam, Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke Qatar, turut mengambil kesempatan bertemu Haniyeh.

Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata Malaysia juga terus dominan dalam mengutarakan isu berkenaan.

Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin itu berlangsung di sebuah hotel di Doha yang mana antara intipati pertemuan itu sudah tentu bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.

Haniyeh dilihat tiba di lobi hotel terbabit jam 8.55 pagi dengan dikawal ketat sekumpulan pengawal sebelum diiring naik ke lokasi pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu.

Noor Nirwandy berkata, banyak pihak mula mempersoalkan pertemuan berani itu, namun perlu ditegaskan semua negara harus menghormati pendirian Malaysia berhubung isu keamanan sejagat.

“Negara lain perlu menghormati pendirian Malaysia seperti mana Malaysia menghormati pendirian negara luar dan dasar negara luar termasuk negara kuasa besar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, langkah Anwar itu juga meletakkan aras tanda baru dalam kepimpinan negara kuasa pertengahan dunia dalam memastikan ada keseimbangan global berkaitan isu kemanusiaan dan konflik antarabangsa.

“Perjumpaan itu lambang nilai maruah umat Islam sedunia apabila rantau ini mempunyai seorang pemimpin yang lantang mempertahankan maruah umat Islam yang teraniaya hasil dari kekejaman terancang.

“Bukan itu saja, saudara Islam di Palestin juga disisihkan daripada keadilan global. Tindakan Malaysia ini signifikan dalam memberikan imej sebuah negara Islam yang aman daulat dan sejahtera,” katanya.

Ketegasan Malaysia membawa isu penindasan terhadap rakyat Palestin dilakukan atas tanggungjawab membela umat Islam dan perjuangan perlu diteruskan. – BH