M Update, 16/4/2020 – Orang ramai tetap tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga dilaksanakan.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata larangan itu sudah dilaksanakan sejak PKP fasa satu dan dua dilaksanakan sebelum ini.
“Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sejak PKP fasa satu dan dua dilaksanakan. Ramadan nanti pun ia tetap tertakluk kepada undang-undang sama. Pergerakan rentas sempadan negeri tetap dilarang sepanjang tempoh PKP fasa tiga seperti yang diputuskan masa PKP fasa satu dan dua.
“Bermakna, pergerakan beramai-ramai untuk pulang ke kampung (menyambut Ramadan) juga tidak dibenarkan, memang tidak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini. – BH Online