Input your search keywords and press Enter.

Suami Pukul Isteri Hamil Hingga Koma Didakwa Esok

M Update, 16/6/2021 – Lelaki yang disyaki memukul isterinya yang hamil sehingga koma 4 Mei lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, sudah memberi kebenaran untuk pertuduhan terhadap suspek dibuat di mahkamah.

Suspek berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan serta Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan suspek utama yang disyaki terbabit dalam kejadian pukul hingga parah isterinya yang hamil itu direman enam hari bermula Sabtu lalu sehingga esok. Peniaga pakaian berusia 38 tahun itu ditahan di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi, Jumaat lalu.

Sebelum ini media melaporkan seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di Johor terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, selepas dipercayai dibelasah suaminya dalam kejadian 4 Mei lalu.

Mangsa yang berusia 43 tahun yang sedang hamil empat minggu ketika kejadian dilaporkan kritikal apabila mengalami kecederaan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban atas permintaan keluarga selain nasihat daripada pihak HSA.

Pada 18 Mei lalu, polis mengedarkan gambar suspek bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan suspek selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan. – BH online