Input your search keywords and press Enter.

Tarawih Secara Online Tidak Sah

M Update, 21/4/2020 – Solat tarawih tidak dibenarkan dilakukan secara dalam talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata orang ramai diminta solat di rumah sepanjang tempoh itu bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19. Syarat sah solat secara berjemaah adalah perlu ada fizikal dan nampak pergerakan dilakukan imam terbabit ketika solat.

“Sekiranya diadakan secara dalam talian, pergerakan imam itu tidak dapat dilihat termasuk berhadapan dengan masalah talian internet ketika solat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Khaira PPZ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PLZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff; Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat ,Tenaga Nasional Berhad (TNB); Datuk Omar Sidek; Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Najmuddin Abdullah.

Pada majlis itu PPZ-MAIWP menerima sebanyak RM1.75 juta sumbangan daripada TNB (RM1 juta); Permodalan Nasional Berhad (RM500,000); Malakof Corporation Berhad (RM100,000); FGV Holdings Berhad (RM100,000) dan Etiqa Takaful Berhad (RM50,000). Ramadan dijangka bermula 24 April ini, kira-kira empat hari sebelum PKP fasa ke tiga tamat iaitu pada 28 April.

Zulkifli berkata, solat tarawih lebih elok diadakan di rumah bersama keluarga kerana buat masa ini kesihatan orang awam perlu diutamakan.

Hari ini satu Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diadakan bagi mengadakan ketetapan seragam tiada solat tarawih secara berjemaah diadakan di surau dan masjid seluruh negara. Mesyuarat itu juga akan membincang dan menerima pandangan ulama negeri lain berkenaan pernikahan secara dalam talian.

“Sekiranya pernikahan secara dalam talian itu dipersetujui oleh semua pihak maka inisiatif itu boleh dilaksanakan secara meluas di seluruh negara sepanjang PKP,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply