M Update, 23/4/2020 – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru mereka yang berada di peringkat kepimpinan mempamerkan contoh teladan baik kepada rakyat jelata dengan mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, berkata baginda turut bertitah ketika ini, rakyat hendaklah sama-sama bersedia berkorban untuk satu tempoh yang diperlukan, demi kesejahteraan jangka panjang rakyat dan negara.
“Baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, peka dan memahami kesusahan dan kerumitan yang sedang dihadapi rakyat ketika mematuhi arahan PKP, terutama kesusahan hidup bagi mereka berkerja atau berniaga secara harian, yang telah putus mata pencarian serta pendapatan disebabkan perintah berkenaan.
“Baginda menyeru agar rakyat menghadapi ujian Ilahi ini dengan tabah, di samping meningkatkan rasa keinsafan akan kelemahan ummah dan kebesaran Allah SWT.
“Pada masa sama, memohon semoga Ramadan yang berkat ini, Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesalahan kita, meringankan tanggungan dan mengembalikan keadaan yang membolehkan rakyat kembali menjalani hidup seperti biasa seawal mungkin,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Menurutnya, baginda amat memahami ikatan dan sentimen umat Islam, menurut tradisi, melakukan pelbagai aktiviti ibadah secara beramai-ramai bertujuan mengimarahkan masjid dan surau dalam bulan Ramadan.
“Namun, baginda menzahirkan nasihat supaya umat Islam memahami, menghargai dan hendaklah sama-sama membantu segala usaha dan penat lelah yang sedang dilakukan oleh petugas barisan hadapan.
“Malah, petugas berkenaan meletakkan diri mereka berada dalam bahaya yang sangat tinggi untuk menangani penularan di samping merawat pesakit yang dijangkiti virus COVID-19. Baginda menggalakkan umat Islam kekal menjalankan pelbagai ibadah dalam bulan Ramadan tetapi dilakukan bersama keluarga di rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak menzahirkan ucapan selamat berpuasa dan melakukan ibadah sempena Ramadan. Menurutnya, baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita kerana tidak mengadakan majlis berbuka puasa untuk meraikan rakyat di Istana Iskandariah sebagai langkah membendung penularan virus COVID-19.
Katanya, pada masa sama, Sultan Perak, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah juga tidak berangkat untuk berbuka puasa dan bersolat di masjid di daerah Perak sepanjang Ramadan tahun ini. – BH Online