Input your search keywords and press Enter.

Pekerja mogok paksa Muzium Louvre ditutup

M Update, 28/05/2019 – Kakitangan Louvre mengadakan mogok semalam, hingga memaksa muzium itu ditutup, sekali gus mengecewakan pelancong yang berhasrat menyaksikan lukisan Mona Lisa dan karya agung lain.

Menurut muzium itu, kakitangan mengadakan mogok atas alasan jumlah mereka tidak mampu lagi menampung pertambahan jumlah pengunjung setiap tahun.

“Berikutan mogok yang dilancarkan oleh penyambut tetamu dan kakitangan keselamatan, yang dikaitkan dengan jumlah pengunjung yang tinggi, Louvre tidak mempunyai pilihan, selain ditutup pada Isnin,” kata muzium itu di Twitter.

Kesatuan Sekerja Sud Culture Solidaires dalam satu kenyataan berkata, Louvre semakin ‘sesak’, namun kakitangan berasa terharu dengan peningkatan jumlah pengunjung.

“Kesemua kakitangan mula menyedari bahawa peningkatan jumlah pengunjung menyebabkan keadaan bekerja semakin merosot.

“Lebih 10 juta pelancong mengunjungi Louvre pada 2018.

“Walaupun, jumlah pengunjung meningkat lebih 20 peratus sejak 2009, tetapi jumlah kakitangan semakin berkurangan,” kata kesatuan sekerja itu.

Kesatuan CGT Culture, berkata 150 kakitangan muzium berkumpul di luar Kementerian Kebudayaan di sini, bagi membantah masalah kekurangan kakitangan.

Sementara itu, Louvre berkata, pihak akan mengembalikan wang kepada pengunjung yang sudah membeli tiket untuk melawat tiket itu, semalam.

Louvre sering menjadi tumpuan pelancong pada setiap Isnin, memandangkan ia adalah salah satu daripada beberapa muzium di Paris yang dibuka kepada orang ramai, kerana kebanyakan muzium ditutup pada hari berkenaan.

Kejadian mogok ini bukanlah yang pertama membabitkan Louvre, kerana pada April 2013, kakitangan muzium itu melakukan tindakan yang sama, berikutan peningkatan kes penyeluk saku yang menyasar pelancong. – AFP

Leave a Reply