M Update, 27/4/2020 – Mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam beg plastik di tepi jalan di Bukit Dinding di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, seorang lelaki yang melalui tempat kejadian terlihat satu pasangan meninggalkan beg plastik di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata dia yang berasa curiga kemudian memeriksa kandungan di dalam beg plastik itu. Menurutnya, saksi kemudian mendapati terdapat mayat bayi yang cukup sifat dipercayai baru dilahirkan.
“Dia kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu. Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Rajab berkata, saksi juga gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” katanya. – BH Online