Input your search keywords and press Enter.

Kota Bharu Kini Zon Hijau

M Update, 28/4/2020 – Daerah Kota Bharu, Kelantan yang juga antara kawasan zon merah sebelum ini menjadi kawasan baharu dikategorikan sebagai zon hijau selepas tidak lagi mencatatkan kes aktif Covid-19 setakat 12 tengah hari semalam.

Ini menjadikan sembilan daripada keseluruhan 10 daerah di Kelantan mencatatkan sifar kes Covid-19 dan hanya Tanah Merah masih mempunyai satu kes jangkitan. Kota Bharu kawasan zon merah ketiga yang bebas Covid-19 selepas Rembau dan Hilir Perak.

Infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang dipaparkan di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, menunjukkan 77 daerah dikategori zon hijau berbanding 68 daerah pada Ahad.

Pertambahan zon hijau itu selain Kota Bharu membabitkan sembilan daerah di Sarawak iaitu Sebauh, Tebedu, Kabong, Pusa, Marudi, Subis, Beluru, Tanjung Manis yang baru disenaraikan dalam infografik CPRC.

Selain itu, Kuala Lumpur terus mencatatkan pertambahan kes baharu secara mendadak iaitu sebanyak 30 kes sehingga semalam yang menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 1,200 kes. Semua daerah di Kuala Lumpur kini masih dikategorikan sebagai zon merah kecuali Cheras yang diletakkan sebagai zon kuning kerana terdapat penurunan kes aktif iaitu kini hanya 33 kes.

Selangor turut merekodkan pertambahan kes baharu sebanyak empat kes diikuti Sarawak (tiga), Perak, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing bertambah satu kes. Untuk rekod, bilangan kumulatif kes positif seluruh negara semalam adalah 5,820 kes dengan 1,764 kes aktif.

Leave a Reply