Input your search keywords and press Enter.

Sarawak Benarkan Dua Orang Dalam Satu Kenderaan Bermula Hari Ini

M Update, 30/4/2020 – Sarawak memutuskan untuk mengikuti peraturan terbaharu Kerajaan Persektuan yang membenarkan dua ahli keluarga terdekat untuk keluar rumah dengan satu kenderaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keputusan itu berkuatkuasa serta-merta, hari ini.

“Mulai hari ini, Sarawak akan mematuhi peraturan peringkat pusat itu yang membenarkan dua anggota keluarga terdekat untuk melakukan perjalanan dengan kenderaan untuk tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, makanan tambahan atau barang lain dari mana-mana penyedia perkhidmatan penting atau untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Semalam di Putrajaya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan membenarkan dua ahli keluarga berada dalam satu kenderaan dan keputusan itu dibuat setelah mendapat maklum balas orang ramai.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menjelaskan, ketika diminta memberi maklum balas berhubung perkara itu di Kota Samarahan semalam, beliau belum menerima maklumat rasmi dari Kuala Lumpur mengenainya.

Beliau berkata, setiap maklumat itu perlu mendapat pengesahan rasmi kerana beliau bimbang banyak berita palsu yang tersebar di media sosial.

“Kita perlu berhati-hati ketika membuat keputusan penting pada masa yang sangat kritikal seperti ini kerana ini boleh memberi kesan yang besar di negeri ini,” katanya.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga, Sarawak membenarkan dua orang melakukan perjalanan dengan kenderaan atau motosikal di luar bandar. Bagaimanapun, kebenaran itu hanya untuk petani yang pergi dan balik dari sawah untuk menuai padi, menuai buah kelapa sawit serta menoreh getah. Katanya, walaupun membenarkan dua orang menaiki satu kenderaan, kerajaan masih bersungguh-sungguh memerangi pandemik COVID-19.

Justeru, katanya orang ramai harus terus mematuhi langkah pencegahan dengan mengurangkan pergerakan keluar rumah, menggunakan alat perlindungan diri serta mengamalkan penjarakan sosial. – BH Online

Leave a Reply