Input your search keywords and press Enter.

Bayi Dicampak Dari Tingkat Empat Stabil

M Update, 14/5/2020 – Bayi perempuan yang dicampak dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, sebaik dilahirkan semalam, dilapor stabil dan sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang.

Suspek berusia 18 tahun yang juga ibu bayi berkenaan turut berada dalam keadaan stabil dan dirawat di hospital sama. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan, berkata teman lelaki suspek masih dikesan bagi membantu siasatan. Katanya, keluarga wanita itu yang dikatakan berada di Kelantan itu sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Bayi terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dari tingkat empat dan kini sedang dirawat di hospital. Polis akan meneruskan siasatan terhadap suspek dan masih memburu teman lelakinya,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, bayi malang itu ditemui penghuni flat terbabit pada jam 8 pagi selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah. Siasatan awal mendapati suspek yang juga pembantu kedai mengaku melahirkan bayi berkenaan pada jam 7 pagi, semalam dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga.

Berikutan panik, dia membuat keputusan membuang bayinya dari tingkat empat melalui balkoni kecil rumah untuk mengelak diketahui ahli keluarga lain. Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BH Online

Leave a Reply