Input your search keywords and press Enter.

Ibadat Korban Sempena Aidiladha Dibenarkan

M Update, 24/6/2020 – Umat Islam di negara ini dibenar menjalankan ibadat korban pada Aidiladha hujung bulan hadapan.

Bagi Wilayah Persekutuan, ia hanya dibenarkan di masjid, surau atau kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa, manakala di negeri lain, tertakluk kepada Majlis Agama Islam masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) lengkap untuk ibadat berkenaan.

“Sekiranya negeri lain (selain Wilayah Persekutuan) memberi kebenaran, SOP ini boleh dijadikan rujukan,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau menjelaskan, antara SOP yang perlu diberi perhatian adalah jumlah petugas dan orang ramai yang boleh hadir di lokasi ibadat itu.

“Setiap kawasan yang dilakukan ibadat korban perlu mematuhi kapasiti kehadiran seramai 250 orang. Namun bagi petugas yang mengendalikan korban, ia perlulah secara nisbah, iaitu seekor lembu kepada 30 petugas sahaja.

“Kehadiran 30 orang ini bermula dari aktiviti menumbangkan lembu, menyembelih, melapah, membahagikan daging dan menghantar kepada penerima. Bilangan haiwan korban mestilah bersesuaian dengan lokasi disediakan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran di setiap kawasan penyembelihan perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan terlebih dahulu bagi memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi.

“Pemeriksaan suhu badan perlu dilakukan dan tiada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dibenarkan hadir. Petugas dan mereka yang hadir juga perlu dipastikan tidak bergejala (COVID-19),” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya melakukan ibadat itu di rumah penyembelihan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang mempunyai peralatan moden.

“Di Wilayah Persekutuan, kita ada rumah penyembelihan yang diselia Jabatan Perkhidmatan Veterinar sendiri, selain 31 pusat penyembelihan swasta,” katanya.

Leave a Reply