Input your search keywords and press Enter.

Ismail Sabri Tuntut Al Jazeera Mohon Maaf

M Update, 6/7/2020 – Agensi berita antarabangsa Al Jazeera hari ini dituntut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta tidak benar melalui satu dokumentari mengenai cara negara ini mengendalikan pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan COVID-19. 

Menyifatkan dokumentari itu sebagai mengelirukan, tanpa fakta jelas dan membuta-tuli, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata wartawan yang menghasilkan dokumentari tersebut  tidak beretika. 

“Sebagai  sebuah media antarabangsa, kita minta Al Jazeera menghentikan tindakan (menyiarkan dokumentari) dan mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini. 

Sebuah dokumentari disiarkan Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani wabak COVID-19.

Ismail Sabri berkata agensi berita itu juga melakukan pembohongan apabila mendakwa kanak-kanak warga asing tanpa izin diperlakukan dengan kejam termasuk digari ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen (DTI).  Menurut Ismail Sabri, realiti yang berlaku ialah kanak-kanak itu tidak digari malah diasingkan daripada tahanan lain dan ditempatkan bersama ibu bapa mereka. 

“Ini fakta sebenar. Al Jazeera tak ingin tahu fakta sebenar ini bahkan atas niat tidak baik menuduh kita rasis, ini juga tidak benar,” katanya. 

Ismail Sabri juga secara tegas berkata tindakan pihak imigresen menahan pendatang tanpa izin adalah berlandaskan Akta Imigresen yang membolehkan individu yang tidak mempunyai dokumen sah ditangkap dan ini selaras dengan undang-undang di negara lain. 

Menteri Pertahanan itu turut mencabar Al Jazeera memberikan senarai negara yang memberikan kebebasan mutlak kepada mana-mana pendatang tanpa izin yang memasuki negara mereka. 

“Setahu saya jawapannya tidak ada. Jika (Al Jazeera) ada, tunjukkan… saya yakin tidak ada negara yang berikan kebebasan kepada warganegara asing yang tamat visa (untuk bergerak) bebas,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply