Input your search keywords and press Enter.

Melaka Bebas Wabak COVID-19

M Update, 7/7/2020 – Melaka diisytiharkan sebagai negeri Zon Hijau selepas 14 hari berturut-turut tiada kes baharu COVID-19 direkodkan.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata kali terakhir negeri itu mencatatkan kes positif COVID-19 adalah pada 23 Jun lalu membabitkan seorang Orang Kena Tahan (OKT) di Balai Polis Banda Hilir, daerah Melaka Tengah.

Beliau berkata, bermula dengan kes pertama pandemik itu direkodkan pada 12 Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 256 kes positif dilaporkan di negeri ini. Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 130 kes di daerah Melaka Tengah, diikuti 50 kes di Alor Gajah manakala 76 kes lagi di Jasin.

“Sebanyak 251 atau 98 peratus daripada jumlah kes sudah sembuh dan lima kematian direkodkan iaitu empat kes di Jasin manakala satu lagi kematian di Melaka Tengah.

“Daripada 256 kes positif dilaporkan, sebanyak 130 kes positif membabitkan kluster tabligh Masjid Seri Petaling, 89 kes import, diikuti kes survelan Madrasah (15), kes kontek kes positif (13), kes sporadik (empat) dan masing-masing dua kes bagi saringan warga emas serta OKT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Melaka Kembali Hijau di Seri Negeri, semalam. Sulaiman berkata, meskipun negeri itu masih belum bebas sepenuhnya, namun situasi itu sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan ekonomi negeri.

“Suka saya maklumkan kepada pelancong yang mahu berkunjung ke negeri ini, bermula semalam Melaka bebas untuk dikunjungi.

“Rakyat Melaka mengalu-alukan kedatangan anda semua untuk menikmati produk pelancongan yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Melaka supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sehingga vaksin pandemik itu ditemui. – BH Online

Leave a Reply