M Update, 17/7/2020 – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.
Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, kematian anaknya yang belum terbela menyebabkan mereka sekeluarga masih bersedih walaupun reda dengan pemergiannya itu.
“Saya kehilangan anak tetapi kematiannya masih belum terbela, jadi saya mahu menuntut ganti rugi, kami sekeluarga sungguh kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Saya berasa perkara ini pelik, bagaimana Ketua Polis Negara membuat kenyataan bercanggah sedangkan Mahkamah Koroner sudah putuskan arwah meninggal dunia akibat perbuatan jenayah,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar hari ini.
Mohd Kassim yang juga pesawah berkata, keluarganya sangat berharap polis dapat mengenal pasti saksi dan menangkap pesalah yang memukul anaknya sehingga meninggal dunia. Katanya, keputusan yang dibuat Mahkamah Koroner bukan satu perkara mudah dan ia mengambil masa lama kerana perlu memanggil saksi dan pakar tertentu.
“Kita sama-sama hormat keputusan mahkamah, tidak lagi perlu ungkit bagaimana anak saya menemui ajal, sekarang masanya untuk mencari pesalah dan heret mereka ke mahkamah,” katanya yang tinggal di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.
Isnin lalu, Abdul Hamid berkata, sehingga kini masih tidak ada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Adib dipukul. Hamid berkata, kesemua keterangan yang diperoleh pihaknya bersifat dengar cakap dan juga pendapat.
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018. Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.