M Update, 17/7/2020 – Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini dengan tegas menyatakan “Sesiapa yang mengaku dirinya ‘gengster’, semua saya akan tangkap dan ambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)”.
Katanya, beliau dan pasukannya kini dalam misi untuk membersihkan budaya gengsterisme di negara ini, dan memperbetulkan minda masyarakat, supaya elemen-elemen gengsterisme dapat dibendung di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.
“Sekarang ini, ada pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sudah pandai asosiasikan diri dengan kumpulan gengster antaranya ‘Ayahanda’, sampai boleh ugut orang minta duit. Gengsterisme ini saya hendak ‘sapu’ semuanya,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.
Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak akan memberi ruang dan akan memerangi isu gengsterisme ini secara habis-habisan. Tegasnya, beliau tidak akan bertoleransi terhadap gengsterisme di negara ini, dan akan menahan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, jika terlibat dalam perkara berkenaan. – Bernama