Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Cadang Beli Dron, Radar Pantau Sempadan

M Update, 20/7/2020 – Kerajaan bercadang menggunakan peralatan canggih seperti dron dan radar sebagai langkah meningkatkan tahap kawalan keselamatan sempadan negara.

Penyediaan aset canggih itu dilihat menjadi satu keperluan terutama membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan. Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata pelan menambah baik aset kawalan sempadan negara mengguna dron atau teknologi bersesuaian kini sedang diteliti pihak kerajaan.

“Kerajaan sedar keperluan untuk menambah baik aset dan sistem kawalan diperlukan agensi keselamatan. Perbincangan sama ada perlu menggunakan radar atau dron seperti dicadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang diteliti.

“Difahamkan negara jiran menggunakan kamera litar tertutup (CCTV), dron dan radar yang cukup canggih bagi mengawal keselamatan sempadan, maka kita juga perlu membuat persiapan sama.

“Ia supaya sempadan negara dapat diawasi dengan lebih ketat dan anggota yang bertugas bekerja dalam keadaan penuh siap siaga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) kementerian, Sanuri Shahid dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.