Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Polis Nafi Tutup Laluan Ke Alor Setar

M Update, 9/9/2020 – Polis menafikan berita tular melalui media sosial sejak semalam yang mendakwa beberapa laluan di sekitar bandar raya ini ditutup susulan penularan wabak COVID-19 sehingga menimbulkan kegusaran awam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu, setakat ini.

Beliau menjelaskan, tiada laluan ditutup seperti berita ditularkan itu, namun sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng masih diteruskan.

“Justeru, orang ramai diminta jangan panik kerana keadaan di negeri ini, terutama di Alor Setar, masih seperti biasa walaupun timbul Kluster Telaga dan Kluster Sungai.

“Bagaimanapun jika ada sebarang perubahan maklumat, kita akan segera memaklumkan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor dalam satu kenyataan media, hari ini, turut menafikan dakwaan berhubung penutupan beberapa jalan di sekitar bandar raya ini.

Sejak semalam, tular berita melalui laman sosial mendakwa lima laluan ke pusat bandar raya ini ditutup berikutan penularan wabak COVID-19, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan warganet. – BH Online