Input your search keywords and press Enter.

KOTA SINGA MEMILIH 2020

Analisis Awal Pasca Pilihan Raya Umum Singapura 2020

Oleh: MKA

Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura 2020 merupakan salah satu PRU yang menarik dan bersejarah untuk negara republik kecil ini. Meskipun menang bergaya pada PRU 2015, PRU kali ini menyaksikan parti pemerintah, People Action Party (PAP) mengalami kemerosotan bilangan kerusi dan juga undi popular pemerintah. Workers Party (WP) yang merupakan pembangkang terbesar berjaya menambah bilangan kerusi dan menang di beberapa kawasan baharu. Untuk rekod, Singapura adalah di antara beberapa negara yang masih menguatkuasakan amalan Pengundian Wajib (Compulsory Voting).

Sebanyak 93 kerusi dipertandingkan kali ini berbanding 89 pada 2015. Pertambahan kawasan pilihan raya baru ini adalah hasil daripada persempadanan semula yang dilaksanakan oleh Electoral Boundaries Review Committee. Kawasan baru bagi Single Member Constituency (SMC) iaitu SMC Kebun Baru, Marymount, Punggol West dan Yio Chu Kang yang mengantikan Sengkang West, Punggol East dan Fengshan.

Bagi Group Representation Constituency (GRC) baharu, GRC Sengkang diwujudkan. PRU kali ini juga menyaksikan kawasan-kawasan yang dahulunya diwakili oleh 4 orang ahli parlimen ditambah kepada 5 orang ahli parlimen. Kawasan tersebut ialah GRC West Coast dan GRC East Coast. Dalam pada itu, terdapat juga kawasan yang dikurangkan perwakilannya iaitu dari 6 MP kepada 5 MP (GRC Pasir Ris-Punggol dan GRC Ang Mo Kio) dan dari 5 MP kepada 4 MP (GRC Bishan-Toa Payoh).

PRU kali ini menyaksikan seramai 2,540,359 (95.81% daripada keseluruhan pengundi berdaftar yang berjumlah 2,651,435) pengundi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih kepada 17 GRC dan 14 SMC. PAP menang 83 kerusi dengan 61.24% undi popular (terendah dalam sejarah) dan 10 kerusi dimenangi oleh parti pembangkang dengan 11.22% undi popular.

PRU kali ini menjadi semakin menarik apabila tiada rapat umum (rallies) dibuat oleh parti-parti yang bertanding akibat daripada penularan virus Covid-19 yang masih aktif di seluruh dunia. Semua parti diberikan peluang untuk ke udara di saluran televisyen nasional dan juga menggunakan sepenuhnya media sosial sebagai medium kempen. Sepuluh hari diberikan kepada parti-parti yang bertanding untuk berkempen berbanding 14 hari mengikut kebiasaannya.

SEKILAS PILIHAN RAYA UMUM SINGAPURA 2015

Pada 2015, PAP menang bergaya dengan menyapu 83 daripada 89 kerusi (93%) yang dipertandingkan. PAP juga merampas kembali kerusi SMC Punggol East yang jatuh ke tangan pembangkang pada 2010.

Kejayaan PAP menambah kerusi pada 2015 menurut Abdul Razak Ahmad, 2015 berpunca daripada beberapa faktor iaitu, Perayaan Jubli Emas Singapura (SG50) yang memasak patriotisme dalam sanubari rakyat di kota singa ini.

Ketidaktentuan ekonomi pada 2015 turut menyumbang kepada kemenangan bergaya PAP. Rakyat Singapura yang matang dan berpendidikan memilih sebuah kerajaan yang telah teruji dan berpengalaman untuk menjalankan pemerintahan bagi negara republik ini.

Selain daripada itu, nostalgia pesona Lee Kuan Yew, Bapa Kemerdekaan Singapura yang meninggal dunia pada 23 Mac 2015 turut menyumbang kepada peningkatan undi simpati dan memori-memori warga Singapura Bersama-sama Lew Kuan Yew (PRU 2015 diadakan pada 11 September 2015). 

Penggunaan slogan kempen PRU 2015 PAP iaitu “With You, For You, For Singapore” memberikan makna yang mendalam kepada warga Singapura. Konsistensi PAP menggunakan slogan ini secara menyeluruh telah meningkatkan imej dan kredibiliti PAP. Berbanding parti-parti pembangkang, penggunaan slogan kempen yang bercelaru dan manifesto yang tidak kohesi mungkin turut menyumbang kepada kekalahan parti pembangkang.

PAP juga komited untuk berubah kepada sebuah parti yang sesuai dengan zaman dan menyahut seruan anak muda untuk memperkenalkan lebih ramai calon-calon muda yang berwibawa. Pada PRU 2015 calon-calon muda diperkenalkan dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong (PM Lee) kerap menegaskan bahawa calon-calon muda ini adalah harapan bagi republik ini. PM Lee turut memberikan peluang kepada anak-anak muda untuk merangka dan menjalankan kempen-kempen PAP.

Sememangnya peranan media menjadi perkara yang paling penting semasa perjalanan sesebuah Pilihan Raya. PAP yang seperti diketahui umum, mempunyai pengaruh ke atas media-media di negara ini telah pun menonjolkan agenda dan mempromosi pendekatan-pendekatan kerajaan melalui media. PAP juga menggunakan secara meluas budaya popular seperti muzik, siri-siri drama dan iklan-iklan untuk menunjukkan imej PAP yang baik dan bersih.

Dalam pada itu, strategi digital juga digunakan oleh pihak pemerintah dan pembangkang. Pembangkang pada 2015 dilihat menguasai media sosial dan semua laporan analitik menyatakan bahawa parti pembangkang telah mendominasi saluran digital di media-media sosial. Meskipun begitu, perkara ini telah gagal diterjemahkan di peti-peti undi semasa PRU 2015 tersebut.  

PERANG MANIFESTO

People Action Party (PAP)

Pada PRU 2020, Parti Pemerintah PAP menggunakan “Our Lives, Our Job, Our Future” sebagai slogan kepada manifesto PRU kali ini. Slogan ini dipilih adalah berdasarkan kepada situasi semasa yang melanda negara tersebut yang bergelut untuk keluar daripada penularan Covid-19. Melalui kata pengantarnya dalam buku manifesto tersebut, PM Lee yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP menegaskan bahawa keadaan sukar yang melanda negara telah mengakibatkan ekonomi terjejas teruk, suntikan 100 Bilion Dollar Singapura telah dilakukan untuk menjana semula ekonomi dan kadar pengangguran yang semakin membimbangkan.

            Lee optimistik untuk merangka pelan dan strategi masa hadapan yang dapat menjamin masa depan cerah buat Singapura. Pada akhir kata-katanya, Lee menyeru untuk rakyat Singapura agar mengundinya dana pasukannya dengan menyatakan “Undilah saya dan pasukan PAP saya. Bersama-sama, kita akan mengatasi COVID-19, dan menjamin masa depan yang cerah untuk kita dan anak-anak kita”. Buku manifesto PAP malah turut menyenaraikan beberapa krisis besar yang melanda Singapura sepanjang sejarah seperti, Pemisahan dari Malaysia 1965, pengunduran British pada 1970an, kemelesetan ekonomi ada 1980an, krisis kewangan Asia pada 1990an dan peristiwa-peristiwa lain yang melanda secara global.

PAP menyenaraikan tawaran-tawaran baharu buat rakyat Singapura dan memperbaharui iltizam pemerintah untuk membangunkan Singapura. Tawaran baharu tersebut merangkumi aspek-aspek berikut:

  1. Kesihatan;
  2. Peluang pekerjaan dan kemahiran;
  3. Mengubah dan membangun ekonomi bersama;
  4. Bantuan dan sokongan bersama;
  5. Membina masyarakat yang kuat dan berdaya tahan bersama;
  6. Melestari kehidupan bersama;
  7. Mebina bandar pintar; dan
  8. Mewujudkan masa depan baru bersama.

Secara keseluruhannya, manifesto PAP pada PRU 2020 kali ini adalah menekankan untuk menyelamatkan nyawa dan pekerjaan warganegara Singapura.

The Workers Party (WP)

Parti pembangkang utama di Singapura, The Workers Party (WP) turut menawarkan beberapa tawaran kepada rakyat Singapura agar suara dan aspirasi kaum pekerja di Singapura tidak diremehkan oleh pemerintah.

Melalui tawaran 2020 yang dibuatnya, WP yang selalu dililhat menggunakan modal-modal lama yang dikitar semula dan disesuaikan dengan keadaan semasa. Namun kali ini WP mengambil kesempatan dengan keadaan Covid-19 dengan menawarkan idea-idea baharu dengan memperkenalkan fasa semasa dan pasca Covid-19.

Tawaran WP semasa Covid-19:

  1. Mendengar dengan lebih teliti nasihat pakar mengenai Covid-19.
  2. WP menegaskan kerajaan telah mengambil tindakan salah apabila menasihatkan pemakaian penutup mulut dan hidung hanya jika bergejala. Tetapi menukar arahan tersebut kemudiannya.
  3. Memperluas pengesanan atau saringan Covid-19 kepada masyarakat di Singapura;
  4. Menjalankan pengesanan kontak secara berkesan dan melindungi privasi pesakit;
  5. Vaksin Covid-19 secara percuma;
  6. Menyemak semula Bajet ransangan ekonomi yang diisytiharkan oleh kerajaan;
  7. Merapatkan jurang khidmat sokongan kepada rakyat;
  8. Menyokong perniagaan tempatan;
  9. Menyemak semula pelan komunikasi semasa pendamik.

Tawaran WP pasca Covid-19

  1. Menyemak semula pelan dan dasar berkaitan kesiapsiagaan menghadapi pendemik;
  2. Mengembangkan sektor pembuatan domestik;
  3. Mendapatkan maklumat berkaitan dengan pendemik dari luar negara secara proaktif;
  4. Menambahbaik keadaan hidup pekerja asing di kawasan dorm;
  5. Memperkasa jaringan keselamatan sosial kepada pekerja yang diberhentikan;
  6. Membangunkan prasarana perniagaan digital semasa krisis;
  7. Menyuburkan persaingan tempatan di arena antarabangsa;

Seterusnya, WP menawarkan beberapa pendekatan untuk impian Singapura yang merangkumi:

  1. Pendidikan yang inklusif untuk masa hadapan;
  2. Polisi sosial untuk solidariti yang lebih baik;
  3. Mengembangkan ekonomi dengan lebih maju;
  4. Pasukan pekerja yang dinamik;
  5. Menurunkan kos sara hidup;
  6. Our Singapore, Our Home;
  7. Institusi kerajaan dan politik yang berwibawa; dan
  8. Menjadikan Singapura yang selamat dan berdaya tahan.

BELAJAR DARI KISAH SINGAPURA

Pengurusan Covid-19

Singapura pada awal penularan Covid-19 dilihat sebagai salah satu negara yang berjaya mengekang penularan virus ini dalam kalangan penduduknya. Terdapat banyak agensi-agensi penarafan antarabangsa yang memberikan pengiktirafan kepada Singapura atas usaha dan langkah-langkah tegas pemerintahnya yang menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang penularan virus ini.

Namun keadaan tidak menjadi seperti yang direncanakan. Singapura terlepas pandang kawasan-kawasan asrama pekerja asing yang sesak dan kecil. Akibatnya, Covid-19 menjangkiti pekerja asing ini dan mengakibatkan graf jangkitan Covid-19 di republik ini meningkat dengan mendadak.

Meskipun kerajaan Singapura telah melakukan pelbagai inisiatif yang baik dan berusaha bersungguh-sungguh melindungi rakyatnya, Parti WP mengambil kesempatan untuk menyatakan tindakan yang diambil oleh pemerintah telah terlambat dan tidak mencukupi. Kesannya rakyat Singapura terdedah kepada ancaman Covid-19 dengan lebih genting dan sukar dibendung. WP juga menyatakan tindakan flip-flop kerajaan PAP berkenaan isu pemakaian topeng muka juga menunjukkan ketidakcekapan pemerintah mengawal dan membendung Covid-19.

Cara baharu Kempen PRU Singapura 2020

Singapura menempa sejarah baharu apabila menjalankan PRU dikala pendemik Covid-19 masih belum reda dan pulih sepenuhnya. Keadaan ini memerlukan kaedah dan pendekatan kempen norma baharu yang lebih selamat.

Lantaran daripada itu, pendekatan kempen menerusi iklan di televisyen dan rancangan bual bicara serta debat menjadi medium utama pada PRU kali ini. Buat pertama kali juga parti-parti pembangkang dibenarkan ke udara di televisyen nasional. Hampir setiap hari terdapat slot-slot di televisyen di peruntukkan kepada setiap parti.

Kempen PRU di media sosial turut menyaksikan kedua-dua pihak mengambil peluang sebaiknya dengan menggunkan platform media sosial dengan sebaiknya. PAP memperkenalkan calon-calon dengan menerbitkan video pendek pengenalan bagi setiap calon yang bertanding menggunakan logo PAP.  Manakala bagi WP pula yang selama ini menguasai “peperangan” di media sosial,  turut tidak ketinggalan dalam menaik taraf portal mereka dengan lebih mesra orang muda dan menggunakan ilustrasi yang menarik. Semua ini dilakukan bagi menarik minat rakyat Singapura untuk turun mengundi calon-calon parti masing-masing.

PENUTUP

Secara keseluruhannya, PRU Singapura 2020 wajar diambil ikhtibar oleh Malaysia untuk memahami sentimen penduduk di Kota Singa tersebut. Meskipun keputusan memihak kepada pemerintah PAP, namun penambahan kerusi pembangkang menjadikan PRU kali ini istimewa dan menarik.

            Meskipun kurang undi popular, Pemerintah PAP tetap menang bergaya dengan 61.24% undi popular. Iltizam PAP yang sentiasa menampilkan pimpinan yang bersih, intelek dan berkarisma mungkin telah menjadi resipi kejayaan PAP selama ini.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.

RUJUKAN

  1. Abdul Razak Ahmad. Singapore Watershed Election 2015. Bait-Al-Amanah, 2015.
  2. https://www.channelnewsasia.com/news/specialreports/sg-votes.GE2020 Results.
  3. https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/ge2020-opposition-vote-swing-bread-butter-issues-pap-wp-12924252. GE2020: Opposition vote swing shows people are looking beyond bread and butter issues, analysts say.
  4. https://www.straitstimes.com/opinion/weighing-singapores-response-to-the-covid-19-pandemic. Weighing Singapore’s response to the Covid-19 pandemic.