Input your search keywords and press Enter.

Gangguan Air Di Klang Pulih Esok

M Update, 9/5/2019 – Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di Klang susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata, kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kini bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip berkenaan yang siap pada kadar 35 peratus sehingga semalam. Katanya, kontraktor Air Selangor perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah Ahad lalu.

Setakat hari ini kerja pembaikan sudah dilaksanakan 35 peratus dan dijangka selesai 3 petang esok. Kita harap penduduk bersabar dengan masalah ini dan kerja penyambungan bekalan air akan dibuat secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Xavier mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat siasatan terhadap punca masalah paip pecah di projek pembinaan lebuh raya WCE. Katanya, siasatan itu turut membabitkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), berkaitan pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan biarlah kajian dan siasatan dilakukan terlebih dulu kerana kejadian itu hanya membabitkan satu kawasan, selepas selesai barulah kita tahu puncanya. WCE mungkin tidak mahu mengambil risiko dan sebab itulah mereka meneliti semula kualiti kerja di jajaran lebuh raya itu berikutan masih ada kerja yang perlu dilaksanakan terutama memastikan ia benar-benar selamat kepada pengguna,” katanya. – HM Online

Leave a Reply