OLEH ABDUL RASHID ABDUL HAMID
Negeri Sabah yang dikelilingi oleh tiga lautan iaitu Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan sering terdedah kepada ancaman jenayah maritim seperti penyeludupan manusia dan barangan, kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pencerobohan nelayan asing dan juga Kidnapping for Ransom (KFR) yang banyak berlaku di Pantai Timur Sabah. Kadar jenayah yang tinggi di perairan Pantai Timur Sabah meletakkan kawasan ini sebagai kawasan yang berisiko sehingga kerajaan menempatkan banyak agensi penting termasuklah ESSCOM yang diwujudkan rentetan kejadian pencerobohan Tentera Sulu di Lahad Datu. ESSCOM seterusnya dilihat signifikan untuk memantau dan memastikan perairan Pantai Timur Sabah terus berada pada tahap yang selamat apatah lagi insiden KFR yang mula berlaku pada tahun 2000 sentiasa berulang sehingga kini.
Insiden KFR ini dilihat sebagai satu ancaman di Pantai Timur Sabah yang disebabkan oleh pergolakan yang tidak berpenghujung di Selatan Filipina dan memberi kesan kepada ekonomi dan sosial serta turut memberi tempias kepada negeri Sabah. Ditambah lagi dengan bentuk muka bumi Sabah yang mempunyai pantai yang panjang dan luas, Kerajaan Malaysia berhadapan dengan kesukaran untuk melaksanakan dasar keselamatan dan penguatkuasaan keselamatan bagi mengekang ancaman KFR yang telah mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman negeri Sabah. Wujud pelbagai faktor yang mendorong kumpulan penculik ini untuk terus melakukan jenayah di Pantai Timur Sabah atau kawasan ini lebih dikenali sebagai ESSZONE. Terdapat beberapa faktor yang menjadikan insiden KFR sering berulang saban tahun.
Antara faktor yang dikenalpasti adalah seperti ketidakstabilan politik di Selatan Filipina, konflik antara etnik, agama dan kepercayaan, keterhadan ekonomi di Selatan Filipina, pengaruh sikap, budaya dan tradisi. Selain daripada itu, faktor yang menarik perhatian penculik untuk melakukan jenayah di Sabah adalah kerana perkembangan ekonomi di negeri Sabah yang berjaya menarik ramai pelancong yang boleh dijadikan sasaran kumpulan penculik ini. Pantai yang panjang, pulau-pulau yang berserakan serta jarak antara Sabah, Malaysia dan wilayah Selatan Filipina juga menyukarkan pengawasan secara menyeluruh oleh pasukan keselamatan di Malaysia memberikan kelebihan untuk kumpulan penculik untuk melakukan jenayah di Malaysia.
Justeru, faktor-faktor ini telah mendorong atau menjadi motivasi kepada kumpulan penculik untuk melakukan penculikan dan rekod menunjukkan aktiviti penculikan untuk tebusan atau Kidnapping for Ransom ini bermula pada tahun 2000 di Pulau Pandanan dan Sipadan dan ia menjadi semakin rancak selepas itu. Walaupun aktiviti rompakan laut yang dikaitkan dengan aktiviti pelanunan ini telah wujud semenjak zaman kolonial lagi, namun insiden KFR yang dihadapi oleh Malaysia pada masa ini dilihat lebih serius sehingga ia diangkat menjadi persoalan keselamatan negara. Justeru, siapakah dalang di sebalik KFR ini yang telah mencetuskan rasa tidak selamat di kalangan masyarakat tempatan dan pelancong dari dalam dan luar negara. Siapakah yang telah menyebabkan negara berbelanja ratusan juta ringgit hanya untuk memastikan pengurusan sempadan maritim berada pada tahap yang terbaik.
Berdasarkan daripada laporan-laporan yang dikeluarkan oleh agensi Kerajaan dan media massa sama ada dari dalam dan luar negara, Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) atau Abu Sayyaf Group (ASG) merupakan aktor utama yang menjadi dalang kepada KFR di Pantai Timur Sabah ini. Nama ASG suda sinonim dengan serangan-serangan pelanunan di Sabah sebelum tahun 2000 lagi. Namun, kemunculan ASG sebagai dalang penculikan pada tahun 2000 telah meletakkan kumpulan itu sebagai dalang dan kumpulan KFR utama di negeri Sabah. Bermula daripada saat itu, ASG menjadi kumpulan yang bertanggungjawab terhadap serangan demi serangan KFR yang berlaku di Sabah. Rencana seterusnya akan mencerita lebih terperinci mengenai KAS atau ASG ini.
Penulis adalah pelajar PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan artikel ini adalah sebahagian daripada kajian untuk tesis penulis serta tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.