Input your search keywords and press Enter.

Tiada Keperluan Pakej Rangsangan Tambahan – Tengku Zafrul

M Update, 3/8/2020 – Kerajaan melihat tiada keperluan untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi tambahan buat masa ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kerajaan akan memantau keadaan semasa dan jika ada keperluan, barulah cadangan memperkenalkan pakej rangsangan dipertimbangkan.

“Buat masa ini tiada keperluan lagi untuk perkenal pakej rangsangan tambahan kerana ekonomi negara dan sektor perniagaan melalui fasa pemulihan.

“Apa yang penting ketika ini, kerajaan harus memastikan COVID-19 tidak menular semula demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.

“Rakyat juga perlu pastikan terus menjaga prosedur operasi standard (SOP), patuh padanya dan menjaga keselamatan diri,” katanya ketika ditemubual dalam Wawancara Felo Perdana Bersama Menteri Kewangan yang disiarkan menerusi Bernama TV, semalam.

Dalam wawancara sama, Tengku Zafrul menegaskan, ekonomi digital memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi dan masa depan negara.

“Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hampir RM1 bilion diperuntukkan dalam penerapan teknologi dan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Selain itu, kerajaan menggalakkan penerapan inovasi digital dalam syarikat pemula niaga sebagai persediaan mereka ke arah operasi berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Kerajaan juga secara serius menitikberatkan pendigitalan dalam perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memperincikan perhatian khusus untuk belia dalam penyediaan belanjawan yang akan dibentangkan pada November ini.

Katanya, belia adalah golongan penting dalam membentuk hala tuju negara, sekali gus ia memerlukan sokongan spesifik bagi membantu mereka.

Belia memerlukan sokongan dari segi pendidikan awam yang baik dan ekonomi yang menyediakan peluang untuk belia berdikari dan berjaya. Justeru, kerajaan perlu menyediakan peluang kepada semua sama ada yang berkelulusan akademik atau vokasional yang mana akan diperincikan dalam Belanjawan 2021.

“Saya menjemput rakyat dan belia untuk berkongsi idea dan cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk Belanjawan 2021. Sebarang cadangan atau idea boleh diemelkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MoF),” katanya. – BH Online