Input your search keywords and press Enter.

‘Jangan Tangguh Jumpa Bank’ – BNM

M Update, 13/8/2020 – Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour meminta orang ramai tidak ‘takut’ dan bertangguh berjumpa bank bagi membincangkan masalah kewangan dihadapi supaya bantuan kewangan bersasar dapat diberikan segera bagi meringankan beban aliran tunai peminjam berikutan impak pandemik COVID-19.

Beliau berkata, peminjam yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan ketara, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu segera berbincang dengan bank bagi memohon lanjutan bantuan kewangan dan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman sebaik tempoh moratorium automatik berakhir hujung bulan depan.

Katanya, tindakan segera itu akan mempercepat dan melancarkan proses kelulusan permohonan lanjutan moratorium bersasar serta pelan bayaran balik pinjaman bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan peminjam yang terjejas.

“Prosedur permohonan juga mudah iaitu hanya perlu menunjukkan bukti dokumentasi mereka hilang pekerjaan dan terdapat pengurangan gaji atau pendapatan.

“Jadi, jangan ‘takut’ jumpa bank, lagi awal lagi bagus. Institusi perbankan secara kolektif bersetuju memudahkan proses permohonan dan keperluan dokumentasi, malah fleksibiliti diberikan ketika tempoh ini supaya mereka tidak tersenarai dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” katanya kepada BH dalam temubual ekslusif di sini, semalam.

Abdul Rasheed juga menasihatkan peminjam yang terkesan perlu berurusan sendiri dengan bank dan tidak menggunakan pihak ketiga, ejen atau orang tengah. Ini katanya, bagi mengelakkan kos yuran tambahan dikenakan atau mereka terdedah menjadi mangsa penipuan pihak tertentu yang menyamar sebagai ejen.

“Bank Negara akan memantau kemajuan pelaksanaan inisiatif yang dijalankan institusi perbankan ini supaya peminjam yang masih berdepan kesulitan kewangan dapat dibantu.

“Kami juga akan terus menumpukan usaha memastikan sistem perbankan menjalankan fungsi perantaraannya dengan berkesan dalam menyokong pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, sejak tujuh bulan lalu, lebih 24,000 peminjam dibantu di bawah pelan bayaran balik pinjaman institusi kewangan berbanding hanya 14,000 peminjam dibantu pada 2019. Katanya, berikutan langkah proaktif bank menghubungi pelanggan masing-masing, jumlah bantuan akan meningkat dari semasa ke semasa dengan dipantau rapi BNM.

“Sekiranya masih tiada jalan penyelesaian dengan bank atau peminjam yang mempunyai pinjaman lebih daripada satu bank, mereka tidak perlu bimbang kerana khidmat pusat sehenti seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan membantu,” katanya.

Bagi peminjam individu, mereka boleh merujuk kepada AKPK, manakala PKS atau pinjaman perniagaan boleh memohon menerusi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS).

Mereka boleh mengajukan pertanyaan kepada BNM melalui eLINK di https://telelink.bnm. gov.my atau menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 dari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang. BNM juga sedang bekerjasama dengan persatuan PKS untuk memantau dan menangani masalah dihadapi PKS dalam mendapatkan bantuan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan daripada institusi perbankan.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan diberikan kepada individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak pandemik COVID-19, manakala selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

Bagi individu kehilangan pekerjaan pada 2020 dan belum mendapat pekerjaan baharu, mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan dan selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan bank bergantung kepada situasi individu.

Individu yang masih bekerja, tetapi gaji mereka terjejas akibat COVID-19 akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman yang sepadan dengan pengurangan gaji mereka, bergantung pada jenis pembiayaan.

Bagi individu lain dan PKS yang turut terkesan akibat COVID-19 akan ditawarkan bantuan seperti membayar faedah untuk suatu jangka masa ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan lebih stabil.

Peminjam boleh memohon secara terus dengan bank masing-masing bagi mendapatkan pakej bantuan pembayaran balik yang bersesuaian mulai 7 Ogos lalu. -BH Online