Input your search keywords and press Enter.

Operasi Pawagam Di Seluruh Malaysia Dihentikan Sementara Mulai 1 Nov

M Update, 30/10/2020 – Pawagam-pawagam di Malaysia akan menggantung operasi mereka bermula November ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) di beberapa negeri selain kekurangan filem-filem baharu.

Keputusan untuk menggantung sementara operasi semua panggung wayang di negara ini dibuat secara kolektif. Bermula November 2020, semua panggung wayang akan menangguhkan penayangan filem dan/atau menggantung operasi mereka. Mereka bagaimanapun akan terus memantau situasi semasa dan akan bertindak mengikut perubahan pasaran sekiranya keadaan semakin pulih. – Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE).

Keputusan ini juga bagi membolehkan kami terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan kebudayaan negara pada jangka masa panjang.

Industri wayang di negara ini terjejas teruk akibat pandemik dan terpaksa menghadapi kerugian pendapatan yang teruk kerana kehadiran penonton ke pawagam merundum sehingga 90 peratus berbanding tahun lepas. Pada masa yang sama, pengendali pawagam pula terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan pelanggan ketika menonton wayang.

Walaupun keputusan ini tidak mudah namun ini adalah cara MAFE bertindak di dalam menghadapi cabaran yang semakin berat dan sebagai sebuah industri, mereka percaya ini merupakan langkah perlu di dalam memastikan kewujudan pawagam di Malaysia dapat diteruskan pada jangka masa panjang.