Input your search keywords and press Enter.

Sarawak Kembali Berstatus Hijau – JPBNS

M Update, 13/8/2020 – Sarawak kembali menjadi negeri berstatus hijau selepas tiada kes baharu positif COVID-19 jangkitan tempatan dilaporkan di semua daerah di negeri ini sejak 14 hari lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata ini dicapai selepas daerah Kuching dan Serian yang sebelum ini berstatus kuning bertukar menjadi hijau setelah tidak mencatatkan sebarang kes positif baharu penyakit itu sepanjang dua minggu lepas.

Berikutan perkembangan ini, JPBN telah memutuskan tempoh masa operasi perniagaan di Zon Satu yang meliputi bahagian Kuching, Samarahan dan Serian kembali beroperasi seperti biasa berkuat kuasa Sabtu ini.

“JPBN telah meneliti isu semasa kes positif di Sarawak yang melibatkan perbincangan serta mendapatkan pandangan dari sudut kesihatan dan ekonomi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan industri pelancongan (sebelum membuat keputusan ini),” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, jawatankuasa tetap itu menasihati orang ramai agar tidak leka dan terus kekal berwaspada dalam menghadapi pandemik ini dengan memastikan saranan dan nasihat kesihatan diamalkan setiap masa.– BERNAMA