Input your search keywords and press Enter.

Langgar Perintah Kuarantin, Tiga Anggota Tentera Ditahan

M Update, 19/8/2020 – Tiga anggota tentera dari kem tentera di sini ditahan kerana didapati melanggar perintah kuarantin di rumah yang dikenakan terhadap mereka sebagai sebahagian daripada peraturan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan COVID-19.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 23 dan 28 tahun, masing-masing berasal dari Kelantan, Melaka dan Johor, didapati tidak mematuhi perintah itu semasa beradai di Jalan Channel pada pukul 3.00 petang semalam.

“Orang awam yang melihat ketiga-tiga mereka di dalam sebuah kereta Proton Saga berwarna putih, masing-masing memakai gelang tangan (tanda perlu kuarantin) di Jalan Channel. Kehadiran mereka di kawasan awam kemudiannya dilaporkan ke ibu pejabat polis di sini, yang kemudiannya menghantar satu pasukan petugas untuk mengesan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya semasa diperiksa, anggota tentera yang dipercayai baru kembali ke Sibu itu didapati memakai gelang tangan berwarna putih yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, dan siasatan lanjut mendapati mereka telah diarah menjalani kuarantin di berek, namun sebaliknya tidak dipatuhi mereka.

Beliau berkata anggota tentera itu dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – BERNAMA