Input your search keywords and press Enter.

Ummah Rabbani Negara Harmoni, Tema Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan

M Update, 19/8/2020 – ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ menjadi tema Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M yang akan diadakan di Masjid Negara Kuala Lumpur petang esok.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya berkata tema itu bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama yang telah pun dicontohkan di zaman Nabi Muhamad SAW.

“Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan merupakan tunjang dalam kebanyakan pelan-pelan yang dibangunkan oleh kerajaan.

“Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid Syariah dan perkara ini turut dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Majlis yang dijadual akan diadakan pada pukul 5.00 petang itu, bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Selain itu juga dijadual hadir ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Paimuzi berkata kemuncak bagi sambutan majlis itu ialah penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M yang disampaikan kepada seorang tokoh ilmuan profesional tersohor di tanah air pada masa kini serta kepada seorang tokoh antarabangsa yang terkenal.

Penganugerahan gelaran itu berdasarkan kriteria pengetahuan dan pengalaman yang luas yang ada pada calon, selain mempunyai sifat dan peribadi yang unggul.

Tokoh yang dipilih juga seorang yang pakar dalam bidang yang diceburi serta telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan pembangunan ummah selain  mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan disiarkan secara Iangsung menerusi saluran TV1 dan TV AI-Hijrah. – BERNAMA