M Update, 21/8/2020 – Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa melupakan perlumbaan Grand Prix (GP) Styria hujung minggu ini selepas dia disahkan masih belum cergas untuk berlumba.
“Hafizh Syahrin disahkan kurang cergas untuk perlumbaan GP Styria dan dia akan cuba kembali berlumba semula pada GP San Marino (13 September),” kata kenyataan pasukan pelumba berusia 26 tahun itu, Openbank Aspar Team di laman web rasmi mereka, semalam.
Pasukan itu turut berharap Hafizh pulih segera dan meminta peminat untuk terus memberi sokongan kepadanya. Kelmarin, Hafizh menyuarakan hasrat untuk kembali ke Litar Red Bull Ring biarpun berdepan kemalangan ngeri di litar itu pada GP Austria, Ahad lalu. Katanya, perkembangan proses pemulihannya berjalan dengan baik dan akan melakukan apa saja bagi membolehkan dia kembali beraksi pada GP Styria di litar sama, hujung minggu ini.
Hafizh terbabit dengan kemalangan ngeri, Ahad lalu selepas pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini terjatuh dengan jenteranya berada di laluan sebelum Hafizh yang tidak menyedarinya gagal mengelak dan merempuh motosikal pelumba Italtrans Racing Team itu.
Dia kemudian dibawa ke pusat perubatan litar dengan dirinya hanya dilaporkan mengalami lebam di beberapa bahagian badan terutamanya di pinggul sebelum dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan terperinci. Bagaimanapun, dia dibenarkan pulang ke litar selepas pemeriksaan dilakukan. – BH Online