Input your search keywords and press Enter.

Pearly-Thinaah Merangkul Gelaran Jelajah Dunia Pertama Di Basel

Pearly Tan-M Thinaah, bintang yang sedang meningkat dan berada pada tangga ke-30 ranking dunia, beraksi cemerlang untuk menjuarai Terbuka Switzerland.

M Update, 08/03/2021 – ┬áRakyat Malaysia kini boleh menaruh harapan kepada beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah untuk memenangi lebih banyak lagi gelaran juara Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bintang yang sedang meningkat dan berada pada tangga ke-30 ranking dunia, beraksi cemerlang untuk menjuarai Terbuka Switzerland dengan menumpaskan gandingan adik beradik, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-19, 21-12 dalam final sulung Jelajah Dunia mereka di St Jakobshalle, Basel semalam.

Walaupun gandingan pemain muda itu bukan pilihan kejohanan, mereka bermula dengan baik dan melakukan serangan agresif untuk mendahului dengan lapan mata (11-3) dalam set pertama sebelum beregu nombor 14 dunia itu berjaya merapatkan perbezaan mata.

Pada set kedua, Pearly-Thinaah tidak memberi peluang kepada beregu adik-beradik Stoeva itu mendapat kelebihan bagi memastikan kejuaraan BWF itu menjadi milik pertama mereka dan menjadi pemain sulung Malaysia muncul selaku juara wanita dalam kejohanan itu.

Kali terakhir pemain Malaysia menjuarai Terbuka Switzwerland ialah Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki dan beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2009.

Pearly, 20, dan Thinaah, 23, mara ke final selepas menumpaskan beregu senior dalam skuad kebangsaan, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 10-21, 21-14, 21-16 dalam aksi separuh akhir kelmarin.

Mereka berdua memenangi Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan Cabaran Antarabangsa India pada 2019, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Kedua-dua pemain telah mempamerkan peningkatan yang baik dalam kerjaya mereka, mara ke suku akhir Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota Januari lepas serta mengejutkan beregu nombor sembilan dunia Chang Ye Na-Kim Hye Rin dari Korea Selatan dalam Terbuka Thailand Toyota.

Pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Woi Yik semuanya kecundang dalam peringkat separuh akhir di Basel.