Input your search keywords and press Enter.

Pelabur Dinasihat Semak Semula Kadar Pembiayaan ASB – ASNB

M Update, 3/9/2020 – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) menasihatkan Pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mengambil Pembiayaan ASB untuk menghubungi bank masing-masing bagi menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah, selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam satu kenyataan, ASNB menjelaskan bahawa peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas dan Kadar Pembiayaan Asas yang menentukan kadar Pembiayaan ASB yang dikenakan oleh pihak bank.

“ASNB telah mewujudkan pusat khidmat nasihat pembiayaan ASB yang boleh dihubungi mulai hari ini melalui Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 bagi membantu pelabur yang mengambil Pembiayaan ASB menyemak semula strategi dan struktur pembiayaan mereka,” katanya.

Secara keseluruhan, OPR yang telah diturunkan oleh BNM pada 2020 adalah sebanyak 1.25 peratus dengan pengurangan OPR sebanyak 4 kali pada tahun ini, iaitu pada Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai yang lalu.

“OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu sebanyak 1.75 peratus. OPR telah diturunkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara berikutan kesan negatif COVID-19 kepada persekitaran ekonomi global,” ASNB menambah. – BERNAMA