Input your search keywords and press Enter.

Empat Anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Baharu Dilantik

M Update, 4/9/2020 – Dua Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham dan dua yang lain dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Kenyataan media Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman, berkata, dua yang lain ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Stephen Chung Hian Guan dan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin.

“Pelantikan mereka dipersetujui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695].

“Pelantikan berkenaan berkuat kuasa hari ini hingga 3 September 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, Datuk Linton Albert, Datuk Mah Weng Kwai dan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi yang tamat perkhidmatan semalam.

“Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan keempat-empat mereka sepanjang tempoh mereka menjadi anggota Suruhanjaya ini,” katanya. – BH Online