Input your search keywords and press Enter.

Nelayan Vietnam Buat Hal Lagi

Foto: Ihsan APMM

M Update, 7/9/2020 – Sebuah bot nelayan Vietnam bukan saja menceroboh dan mencuri hasil laut negara, malah bertindak agresif dengan melanggar bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat hingga berlaku kerosakan di beberapa bahagian.

Kejadian berlaku 7.30 pagi, 5 September lalu, ketika sepasukan APMM Kudat menjalankan Ops Pluto Timur di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Malawali, dekat sini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander (M) Boon Chin Chau berkata, bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan mengesan sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran disyaki Vietnam yang sedang bergerak dan melakukan penundaan di kawasan perairan pulau berkenaan.

Katanya, ketika dihampiri dan diarah berhenti oleh anggota APMM, tekong bot tidak memberi kerjasama dan terus bergerak laju menyebabkan bot ronda mengekori bot berkenaan.

“Ketika bot ronda cuba untuk merapat, tekong bot Vietnam secara tiba-tiba mengubah haluan dan bertindak agresif melanggar bot ronda sehingga berlaku kerosakan di beberapa bahagian badan bot.

“Selepas hampir setengah jam cuba memintas, akhirnya bot ronda APMM Kudat berjaya menahan bot nelayan Vietnam berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong dan tujuh awak-awak warga Vietnam berusia antara 22 hingga 53 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Tekong dan empat awak-awak didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri manakala tiga lagi mempunyai pasport. Selain itu, bot berkenaan mempunyai hasil tangkapan balat basah anggaran berat 200 kilogram serta muatan 6,000 liter diesal. Anggaran keseluruhan rampasan hampir RM500,000,” katanya.

Boon berkata, bot berkenaan diiring masuk ke Jeti Marina dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Semua awak-awak termasuk tekong bot menjalani ujian saringan Covid-19 oleh kakitangan Klinik Kesihatan Kudat sebagai langkah berjaga-jaga. Semua anggota bot ronda APMM yang terbabit juga dipastikan untuk sentiasa mematuhi SOP Covid-19 sepanjang melakukan tugasan,” katanya. – HM Online