Input your search keywords and press Enter.

Tiada Rakyat Malaysia Di Wilayah Bergolak Marib, Yaman

M Update, 17/9/2020 – Seramai 587 rakyat Malaysia di Yaman dilaporkan tidak terkesan secara langsung dengan insiden ketegangan di wilayah Marib.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata daripada jumlah berkenaan, 566 warga Malaysia berada di Hadramawt, Aden (tiga), Lahj (empat), Zabid (11) dan Sana’a (tiga).

“Mengikut laporan dan maklumat terkini daripada Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman, warga kita di Yaman tidak terkesan secara langsung dengan kejadian dekat wilayah Marib.

“Bagaimanapun, kementerian sedang memantau rapi perkembangan dan situasi semasa yang berlaku di negara berkenaan,” katanya pada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan meminta rakyat Malaysia di Yaman supaya menjaga keselamatan masing-masing berikutan ketegangan di wilayah Marib. Hishammuddin berkata kementeriannya kini sedang memantau dengan dekat perkembangan yang berlaku di negara berkenaan.

Malaysia mengambil berat dengan perkembangan terkini di Yaman yang mana pemberontak Houthi merancang menimbulkan konflik di beberapa kawasan, antaranya di Marib. Hishammuddin dipetik sebagai berkata, pihaknya menggesa semua pihak menghentikan sebarang bentuk tindakan yang boleh menegangkan lagi keadaan.

Media antarabangsa melaporkan lebih 100 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan dron dan peluru berpandu didakwa dilakukan pemberontak Houthi di Yaman. Serangan pada Sabtu lalu itu menamatkan ketenangan dalam tempoh beberapa bulan antara pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman yang menerima sokongan pasukan gabungan diketuai Arab Saudi. – BH Online