Input your search keywords and press Enter.

Waris Pesara Kerajaan Meninggal Selepas 15 Oktober 2010 Layak Terima RM3,000

M Update, 18/9/2020 – Waris pesara kerajaan yang meninggal dunia pada atau selepas 15 Oktober 2010 berhak menerima bantuan pengurusan jenazah berjumlah RM3,000.

Menurut kenyataan pada portal Jabatan Perkhidmatan Awam, ia mencakupi golongan pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan, Awam Negeri, Badan Berkanun, Kerajaan Tempatan dan pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pembayaran itu bagaimanapun tidak dipanjangkan kepada penerima pencen terbitan yang meninggal dunia.

Kenyataan itu menyebut, kategori disahkan layak menerima bayaran berkenaan adalah isteri atau suami kepada penjawat yang meninggal dunia, anak, ibu atau bapa dan ahli keluarga atau pihak ketiga yang menguruskan jenazah, dengan masing-masing perlu mengemukakan surat akuan sumpah.

Borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.jpapencen.gov.my, dilengkapkan dan dikemukakan ke Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen) di alamat berikut bersama dokumen sokongan:

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen)

Aras 2-5, Blok C2, Kompleks C

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62510 Putrajaya, Malaysia.

Bayaran untuk penerima dalam Malaysia akan dibuat menggunakan waran atau akaun bank, manakala kaedah pindahan telegrafik dan draf bank akan digunakan untuk penerima luar negara. – BH Online