Input your search keywords and press Enter.

MBSA Tawar Diskaun Kompaun 50 Peratus Sepanjang Oktober

M Update, 1/10/2020 – Orang Kena Kompaun (OKK) di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menikmati pengurangan kompaun sehingga 50 peratus sepanjang Oktober ini.

MBSA akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun itu bersempena sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam Ke-20 untuk memberi peluang kepada OKK menyelesaikan tunggakan kompaun kepada MBSA. Pelaksanaan kempen ini bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020 dengan menawarkan sehingga 50 peratus pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil ke atas OKK antaranya sekatan urus niaga di kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah.

Ini adalah inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing. Pelaksanaan pengurangan sehingga 50 peratus itu membabitkan sembilan jenis kompaun.

Kompaun membabitkan kesalahan mengikut Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007. Kompaun ini juga membabitkan Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007,” katanya.

Perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap hari Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA juga disediakan bagi menggalakkan orang ramai membayar kompaun.

Pembayaran kompaun juga boleh dibuat di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

Kadar kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter bayaran MBSA. Bayaran boleh dijelaskan melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan kaunter Bank Rakyat.

Terdapat juga bayaran JomPAY diperkenalkan untuk memudahkan OKK atas kesalahan sama membuat bayaran. OKK hanya perlu memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran,” katanya.