M Update, 7/10/2020 – Apple bakal memperkenalkan peranti paling ikonik mereka iaitu iPhone 12 pada 14 Oktober depan berdasarkan satu jemputan media yang bertemakan kepada ‘Hi, Speed’.
Acara pengumuman ini akan diadakan secara atas-talian sepenuhnya, dan distrim seperti biasa melalui saluran syarikat Apple. Teka teki berhubung pengenalan peranti pintar iPhone berkenaan sudah diperkatakan sejak hujung bulan lalu apabila Apple mengadakan majlis ‘Time Flies’ yang memperkenalkan siri baharu Apple Watch Series 6 dan dua variasi iPad.
Kali ini, slogan yang digunakan Apple adalah ‘Hi, Speed’ dan berdasarkan tema berkenaan, peranti baharu mereka pastinya menggunakan semua spesifikasi termaju dalam industri.
iPhone 12 dijangka hadir dalam beberapa variasi, dan bakal menggunakan cip pemprosesan terpantas mereka, iaitu cip A14. Mengikut desas-desus, Apple dijangka memperkenalkan iPhone 12 mini, iPhone 12 Max, iPhone 12 Pro, dan juga iPhone 12 Pro Max.
Selain pelbagai pilihan saiz, Apple juga dijangka memfokuskan kepada sokongan kamera, dan mungkin menyertakan sensor LiDAR pada iPhone paling premium mereka. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan 14 Oktober ini untuk melihat kejutan yang disediakan oleh pihak Apple melalui iPhone terbaru mereka.