Input your search keywords and press Enter.

Ambil Dos Penggalak Segera, Jangan Tunggu Vaksin Bivalen

M Update, 03/01/2023 – Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan orang ramai segera mendapatkan dos penggalak kedua tanpa menunggu vaksin bivalen COVID-19.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata vaksin sedia ada juga berkesan bagi mengelak gejala serius dan kematian akibat jangkitan wabak itu.

“KKM menggesa orang ramai yang sudah menerima dos penggalak pertama melebihi tempoh enam bulan segera mendapatkan dos penggalak kedua dan tidak menunggu vaksin bivalen.

“Vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, vaksin bivalen akan dibekalkan kepada Malaysia tidak lama lagi berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) baru-baru ini.

“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama kriteria kelayakan mendapatkannya,” katanya.

Dr Zaliha berkata, KKM berharap peratusan pengambilan dos penggalak terus meningkat, terutama dalam kalangan golongan berisiko. Katanya, hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja sudah mengambil dos kedua,” katanya.

Disember lalu, PBKD memberi kelulusan bersyarat untuk vaksin COVID-19 Pfizer yang dikemas kini.

Vaksin baharu itu dijangka dapat memberi perlindungan lebih baik terhadap subvarian BA.5 Omicron walaupun prestasinya dengan varian baharu seperti XBB dan BQ.1 masih dikaji.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini berkata, vaksin bivalen dijangka tiba akhir bulan ini. Buat masa ini, vaksin bivalen Pfizer hanya akan tersedia kepada mereka yang sebelum ini menerima vaksin COVID-19 Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau CanSino.

Vaksin bivalen baru-baru ini menjadi perhatian di tengah kebimbangan ramai terhadap keputusan China membuka semula sempadannya. – Berita Harian