Input your search keywords and press Enter.

Misi Anwar: Dijadual Mengadap Agong 13 Oktober Ini

M Update, 9/10/2020 – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada Selasa 13 Oktober ini.

Pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu, beliau mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu. Beliau menyatakan sudah mendapat perkenan untuk menghadap baginda sehari sebelum itu namun terpaksa ditangguhkan selepas Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihaknya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Beliau mengharapkan rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini. – Anwar Ibrahim

Sehubungan itu, beliau ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankannya mengadap pada Selasa, 13 Oktober 2020 ini.