Input your search keywords and press Enter.

23 Pekerja Kelab Golf Positif COVID-19

M Update, 12/10/2020 – Seramai 23 pekerja kelab golf Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) disahkan positif COVID-19, termasuk 12 orang yang disahkan positif hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata 12 pekerja yang disahkan positif hari ini akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk diberikan rawatan. Pada hari ini dan esok, petugas Kementerian Kesihatan akan membuat kemas kini senarai penghuni asrama yang akan disaring terlebih dulu, kerana ada di antara mereka selesai menjalani saringan sebelum ini.

Seramai 597 pekerja kelab golf berkenaan mendiami tiga blok asrama membabitkan 358 pekerja asing dan selebihnya 239 warga tempatan. Semalam, 11 pekerja kelab golf itu disahkan positif COVID-19 memaksa asrama pekerja di Jalan Tropicana Selatan, di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.

Seramai 11 pekerja terdiri daripada 10 warga tempatan dan seorang warga asing yang sebelum ini sudah disahkan positif COVID-19 kini ditempatkan di HSB untuk menerima rawatan. Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan asrama pekerja TGCR dikenakan PKPD selama 14 hari bermula hari ini.

Perintah itu dilaksana selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pada hari itu menerima nasihat Kementerian Kesihatan susulan kes positif COVID-19 membabitkan pekerja di kelab golf itu. Proses saringan ke atas semua penghuni asrama berkenaan akan dijalankan Kementerian Kesihatan pada Rabu ini.