Input your search keywords and press Enter.

Virus Ditemui Di Permukaan Kulit Mayat Pesakit – Kajian

M Update, 19/10/2020 – Kajian Kementerian Kesihatan terhadap mayat pesakit COVID-19 mendapati virus itu masih berada di permukaan kulit jasad mangsa.

Virus itu dikesan di permukaan kulit mayat terbabit selepas pihaknya melakukan ujian calitan di bahagian berkenaan. -Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

“Kita telah membuat kajian, termasuk ujian calitan di kulit mayat. Keputusan ujian calitan di kulit turut positif. Bukan hanya cecair badan yang positif, organ lain juga positif. Kemungkinan besar permukaan kulit pun boleh menjadi positif.

“Oleh itu, kita tidak boleh menggunakan kaedah memandikan jenazah. Kita tayamum dan memasukkan jenazah ke dalam plastik. Plastik itu tidak boleh dibuka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai penemuan saintis di Jepun yang mendapati virus COVID-19 boleh kekal di permukaan kulit hingga sembilan jam. Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, ada kajian menunjukkan kebolehjangkitan berlaku selepas tempoh sembilan jam tetapi ia bergantung pada keadaan permukaan.

“Ada kajian melihat kepada kebolehjangkitan selepas sembilan jam yang bergantung pada permukaan. Sebagai contoh, jika permukaan sejuk, lendir itu boleh kekal di situ. Ia satu daripada bukti saintifik,” katanya sambil menekankan kepentingan kerap mencuci dan melakukan nyahkuman di permukaan serta tempat yang selalu ada sentuhan. – BH Online