Input your search keywords and press Enter.

Resolusi Isu Kalimah Allah Dimuktamad Hari Ini

M Update, 16/03/2021 – Satu pertemuan dengan mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang bagi memuktamadkan resolusi berkaitan isu kalimah Allah akan diadakan hari ini.

Menerusi perkongsian di portal al-Bayan, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata cadangan pertemuan bersama mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Penasihat Undang-Undang JAKIM, Jumaat lalu.

Portal al-Bayan adalah portal yang dibangunkan oleh pejabat Zulkifli yang menggabungkan 13 agensi di bawahnya untuk menyalurkan maklumat berkenaan hal ehwal agama Islam di Malaysia. Pertemuan tersebut antara lain bagi mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana tindakan segera yang teratur dan berprinsip perlu memandangkan isu itu membabitkan aspek teknikal.

“Berhubung isu akidah, apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas,” katanya.

Sementara itu dalam satu hantaran dalam laman Facebook, Zulkifli berkata pandangan dan buah fikiran pimpinan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam juga akan diambil kira dalam Munaqasyah Khas itu hari ini. Katanya, kerajaan sentiasa melihat NGO sebagai rakan kerja strategik dalam apa jua lapangan.

“Sinergi yang berkesan insya-Allah akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan. Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut dibenarkan untuk digunakan. – BERNAMA