Input your search keywords and press Enter.

Pemprorogan Parlimen: Solusi Atau Sekadar Pilihan

Oleh: Ahmad Syukri bin Khusaini

(Mahasiswa di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya)

Pengumuman Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah memperoleh sokongan yang signifikan di kalangan ahli Parlimen bagi membolehkannya diangkat sebagai Perdana Menteri yang baharu telah membuka lembaran baharu kepada ketidakstabilan politik di negara ini. Pengumuman ini telah diikuti dengan 5 orang ahli Parlimen pembangkang yang telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Pelbagai spekulasi telah timbul yang akhirnya telah menyaksikan parti UMNO mempertimbang sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional. Lebih menyulitkan keadaaan, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas Dewan Rakyat dijadual bermula pada hari Isnin 2 November 2020. Seterusnya, Pembentangan Belanjawan 2021 pula akan dibentangkan pada hari Jumaat 6 November 2020.  Justeru Kerajaan kini berada di dalam situasi yang agak sulit dan memerlukan penyelesaian yang mampu mengeluarkannya daripada kemelut politik yang melanda. Beberapa opsyen boleh diambil oleh Kerajaan seperti berikut:

  1. Pemprorogan Parlimen

Dalam menghadapi krisis sebegini, salah satu pilihan yang boleh diambil Kerajaan adalah memprorog Parlimen. Peruntukan ini termaktub di dalam Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan yang mana menyatakan bahawa SPB Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. Justeru Perdana Menteri boleh menasihati SPB Yang di-Pertuan Agong untuk memprorog sidang Parlimen yang mana akan menghentikan sementara sidang tanpa membubarkannya bagi tempoh enam bulan dari tarikh persidangan terdahulu.

Sehingga ke hari ini, peruntukan untuk memprorog Parlimen masih belum pernah digunakan di Malaysia. Sungguhpun begitu, pemprorogan Parlimen telah digunakan di negara-negara Komanwel dan Eropah seperti Sri Lanka, Granada dan Kanada bagi menangani situasi politik yang tidak stabil. Namun begitu, pempropogan Parlimen semestinya akan mendatangkan kesan-kesan negatif dari aspek politik, perundangan, ekonomi dan Institusi Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun memprorog Parlimen diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun dari aspek politik ia hanyalah langkah jangka pendek bagi menangguhkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Dalam konteks semasa, meskipun parti UMNO telah mengumumkan gencatan politik dan menyatakan bahawa kerjasama dikalangan parti di dalam Kerajaan Perikatan Nasional perlu diperkasakan, namun realitinya dengan majoriti yang terlalu nipis, Kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa terdedah kepada percubaan peralihan kerajaan melalui usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri apabila tamatnya pemprorogan Parlimen sekiranya ia dilaksanakan. Secara tidak langsung tindakan memprorog Parlimen akan dilihat hanya sebagai instrumen bagi Perdana Menteri mengekalkan kuasa.

Seterusnya jika Kerajaan Perikatan Nasional beranggapan prorog Parlimen akan dapat memberi impak positif terhadap ekonomi negara, maka anggapan tersebut besar kemungkinan adalah salah. Realiti yang perlu dihadapi Kerajaan adalah berdasarkan situasi semasa yang dipengaruhi oleh pandemik COVID-19 yang melanda dunia serta situasi politik yang tidak stabil di negara ini merupakan antara penghalang terbesar bagi pelaburan langsung asing ke negara ini. Bahkan, pengumuman Dato’ Seri Anwar Ibrahim tempohari telah memberi impak negatif terhadap Indeks Komposit Kuala Lumpur di mana ianya telah jatuh sebanyak 10.5 mata atau 0.7 peratus.

Keputusan untuk memprorog Parlimen turut berisiko untuk dicabar di mahkamah oleh pihak pembangkang dan pihak-pihak lain yang berkepentingan. Perkara sebegitu telah berlaku di Britain bilamana Perdana Menteri Britain menasihati Ratu Elizabeth untuk memprorog Parlimen Britain semasa krisis Brexit yang lalu. Keputusan Ratu Elizabeth telah dicabar di mahkamah di mana Mahkamah Tinggi Britain telah mendapati bahawa Perdana Menteri Britain telah menyalahi undang-undang dengan memberikan nasihat yang salah kepada Ratu Elizabeth dalam melaksanakan prorog. Sekiranya situasi yang sama berlaku di Malaysia, maka ianya akan menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri dan dan Kerajaan Perikatan Nasional. Bahkan ianya turut mencemar imej SPB Yang di-Pertuan Agong yang akan berdepan tohmahan dijadikan instrumen politik bagi membolehkan Perdana Menteri mengelak dari usul undi tidak percaya untuk kekal berkuasa. Sejujurnya adalah tidak adil untuk mengheret SPB Yang di-Pertuan Agong dalam kemelut politik yang sedang melanda negara ini.

Dengan mengambil kira perihal di atas, keperluan bagi melaksanakan prorog Parlimen dapat dielakkan sekiranya parti-parti politik di dalam Kerajaan Perikatan Nasional dapat menyelesaikan masalah dalaman yang membelenggu kerukunan dan kelangsungan Kerajaan. Tidak dapat dinafikan bahawa pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional adalah manifestasi terhadap keinginan majoriti rakyat di Malaysia yang mengharapkan kerajaan yang ditunjangi oleh Melayu beragama Islam. Realiti ini perlu difahami dan menjadi tunjang terhadap segala keputusan yang bakal diambil oleh semua parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional, samada kekal atau menarik balik sokongan. Rakyat kini sedang menantikan penutup kepada drama politik terkini yang masih belum menemuni titik noktah. Sekiranya tersilap langkah maka rakyat tidak akan teragak-agak untuk menghukum pemimpin dan parti yang telah menghancurkan Kerajaan dambaan majoriti rakyat.

  1. Pilihanraya Umum ke-15

Oleh yang demikian, langkah paling ideal dan sewajarnya diambil oleh Perdana Menteri adalah untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 dengan kadar segera. Pilihanraya Umum ke-15 adalah satu-satunya cara bagi Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional untuk mendapatkan mandat besar dari rakyat bagi membentuk Kerajaan yang kukuh dari segi bilangan kerusi di Parlimen. Langkah ini adalah bersamaan dengan tindakan Ketua Menteri Sabah semasa pembubaran Dewan Undangan Negeri setelah kehilangan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini. Langkah sebegini ini juga telah diambil oleh Ketua Menteri Sarawak semasa menghadapi krisis politik dalam tahun 1987. Keputusan-keputusan ini telah diambil oleh pemimpin kedua negeri kerana ianya merupakan satu-satunya cara bagi mendapatkan majoriti yang lebih kukuh dan tidak mampu diganggu gugat.

Meskipun masih berperang dengan COVID-19 namun sepertimana yang telah diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi, peraturan berkempen telah diubah bagi mengelak penularan wabak COVID-19. Dengan SOP yang telah dibangunkan, ini memungkinkan Pilihanraya Umum ke-15 dapat dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal dan selamat meskipun sedang menghadapi wabak COVID-19.  Namun perkara yang paling penting dalam menghadapi pilihanraya ini kelak adalah penyatuan dikalangan parti Kerajaan Perikatan Nasional. Sekiranya persetujuan dapat dicapai segera dikalangan parti terlibat, maka tidak mustahil kemenangan yang meyakinkan dapat diperoleh kelak.

  1. Perisytiharan Darurat

Namun sekiranya Perdana Menteri merasakan bahawa gabungan parti-parti di dalam Kerajaan Perikatan Nasional tidak mampu untuk memperoleh jumlah kerusi yang signifikan di dalam Pilihanraya Umum ke-15, maka opsyen yang tinggal adalah untuk Perdana Menteri menggunakan ancaman COVID-19 terhadap keselamatan negara, kelangsungan ekonomi dan ketenteraman awam sebagai asas untuk menasihati SPB Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Semasa darurat dikuatkuasakan, pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif. SPB Yang di-Pertuan Agong juga boleh sekiranya perlu dan berpuas hati untuk memasyhurkan sebarang Ordinan termasuk Ordinan Perbelanjaan (Belanjawan) semasa darurat dikuatkuasakan. Namun setiap Ordinan yang dimasyhurkan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara apabila keduanya bersidang.

Ketiga-tiga opsyen ini akan mendatangkan implikasi yang besar kepada negara dari segi politik, ekonomi dan sebagainya. Maka adalah penting bagi Perdana Menteri mempertimbangkan segala kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya memilih mana-mana opsyen kelak. Khususnya dalam situasi negara yang masih berdepan ancaman COVID-19. Mendepani situasi pandemic COVID-19 yang kian meruncing dan keperluan mengadakan pilihanraya umum dengan segera, seharusnya pemimpin-pemimpin parti terlibat berjiwa besar dan kembali memperkukuh ikatan kerjasama yang telah dijalin atas semangat mengembalikan tampuk kepimpinan negara bertunjangkan Melayu dan Islam. Pada masa yang sama, keselamatan dan kebajikan rakyat perlu diutamakan tatkala peperangan menentang COVID-19 masih belum menampakan penghujung. Justeru keutamaan jangka pendek kerajaan seharusnya adalah peperangan menentang COVID-19 dan meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Seterusnya, keutamaan jangka sederhana dan panjang harus lah bagi mencapai kata sepakat dikalangan parti dan segera mengadakan pilihanraya umum apabila keadaan mengizinkan bagi menubuhkan Kerajaan yang mempunyai majoriti yang kukuh dan sukar digugat di dalam Parlimen.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.