Input your search keywords and press Enter.

Agong Zahir Ucapan Tahniah Kepada Cikgu Sam

M Update, 30/10/2020 – Kejayaan guru bahasa Inggeris Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang yang dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah serta sukacita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang itu dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara. Anugerah yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta) itu merupakan program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi bagi memberi inspirasi kepada muridnya yang terdiri daripada Orang Asli, untuk menyimpan impian besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar. Antara program diperkenalkan Samuel ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, dan murid-murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dari dalam dan luar negara.

Samuel juga memperkenalkan program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) iaitu projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat dan komitmen Samuel, menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para guru untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh guru berkenaan, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah tersebut meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada 2015-2018. Samuel dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira 2019.