Input your search keywords and press Enter.

Dakwa COVID-19 Agenda Freemason Dan Yahudi, PU Azman Sekolahkan Kumpulan Teori Konspirasi

Sudah hampir setahun kita dilanda dengan wabak COVID-19, sejak itu lebih 47 juta orang telah dijangkiti dengan wabak ini di seluruh dunia, manakala lebih 1 juta kematian telah direkodkan.

Wabak yang mula menular di China pada hujung tahun lalu jelas mengejutkan dunia. Difahamkan salah satu pasar basah terletak di Wuhan yang menjual binatang eksotik seperti ular, tikus, anjing atau kelawar adalah tempat pertama tularnya wabak ini.

Tidak kurang daripada itu, sebahagian daripada kita yang terlalu taksub dengan teori konspirasi mula menyebarkan dakyah-dakyah karut dan menyatakan bahawa COVID-19 adalah satu pembohongan.

Antara dakwaan yang sering kita dengar adalah COVID-19 dicipta oleh kumpulan Yahudi untuk menipu umat Islam, manakala sebahagian pula mendakwa Freemason adalah kumpulan yang bertanggungjawab membuat onar dan menipu seluruh dunia dengan COVID-19.

Ada pula sebahagian orang yang mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan oleh masjid dan surau apabila perlu solat dengan menjaga jarak. Komen pedas yang mereka lemparkan adalah mengapa perlu takut dengan wabak sedangkan manusia perlu takut kepada Tuhan.

Tidak berpuas hati dengan dakwaan itu, PU Azman tampil membetulkan stigma kumpulan yang terlalu taksub dengan teori konspirasi. Dalam satu video ‘live’ di laman Instagram miliknya, PU Azman meminta kumpulan ini tidak mengelirukan umat Islam.

“Apa sahaja yang diperintahkan oleh kerajaan sebagai wakil tuhan di bumi, ikut. Ikut dalam keadaan apa pun dan tak perlu kata ‘adakah aku murtad sembahyang jarak-jarak? Adakah aku berdosa sembahyang macam papan catur? Tak ada kena mengena langsung,” katanya.

PU Azman menjelaskan bahawa SOP yang dibuat oleh kerajaan bertujuan untuk membendung tersebarnya wabak COVID-19 dan bukannya untuk menyesatkan umat Islam. Tambahnya lagi, kerajaan hanya menjalankan amanah untuk menjaga rakyat apabila sesuatu musibah terjadi.

“Kalau benda itu termasuk dalam perangkap yang dirancang oleh yahudi. Apa masalah dekat situ? Yahudi ada perancangan, tuhan ada perancangan.

“Perancangan Allah jauh lebih hebat daripada perancangan yahudi. Jadi jangan buat orang gelabah, jangan buat orang Islam merasa bersalah dengan SOP yang ada. Itu sahaja,” katanya.

Video yang dimuat naik di laman Instagram tersebut itu tular di Twitter selepas dimuat naik oleh @ShahrulFikry. Ia telah mendapat perhatian ramai dengan lebih 20,000 ciapan balas dan 19,000 tanda suka.

Dia berkata dalam ciapannya, “Korang nak percaya atau tak apa yang PU sampaikan itu terserah dekat korang cuma kita ambil point “perancangan Allah jauh lebih hebat”. Kita ada Allah, jadi kita percaya jelah pada perancangan Allah. Apa benda nak percaya kat freemason, illuminati bagai ni.”

Tidak salah untuk membaca atau percaya kepada sesuatu teori, tetapi ia perlu hadir bersama dengan kajian yang mendalam, bukannya hanya teori semata-mata. Kajian itu sahaja bukan berbentuk tulisan, tetapi juga secara berguru.

Seperti adab menuntut ilmu, mempelajari sesuatu hal, terutamanya perkara yang bukan kepakaran kita, perlu melibatkan seorang guru atau dikhawatirkan akan terjerumus ke dalam ajaran yang salah.

Sumber: thevocket.com