Input your search keywords and press Enter.

Antara Suara Ayam dan Suara Penyu

Beza ayam dan penyu termasuklah tahap kebisingannya bila bertelur. Ayam bertelur sebiji tapi berketuk riuh sekampung. Penyu pula bertelur hingga 150 biji, tapi senyap dan tenang-tenang sahaja.

Begitulah perangai masyarakat kita. Ada yang buat kerja sedikit, tapi dengan bangga menjaja ke sana ke sini hingga hampir ramai percaya betapa rajinnya dia membuat kerja dan pasti besarnya jasa. Di satu pihak lain, kerja bagai nak putus nyawa, keselamatan diri di tolak tepi, tapi sumbangannya kurang didengari. Merekalah wira yang tidak didendang.

Ketika musim hujan ribut petir, sang ayam akan secepat mungkin mencari tempat berlindung paling selamat dan selesa untuk memanaskan badan. Kerjanya hanya bersembang-sembang dengan ayam lain yang sama-sama menjaja cerita yang tidak pasti benar atau salah faktanya sambil menunggu hujan reda. Bercakap bagaikan pakar yang tahu semua perkara di lapangan sedangkan setitik air hujan pun tidak menimpa bulunya. Bila hujan reda, segera ayam turun ke lapangan, mula berkokok atau berketuk kuat menyatakan apa yang ia telah lakukan. Perkara itu, tindakan ini, berkepak bagaikan hero. Kemudian bertelur sebiji. Makin kuat bunyi ketuknya.

Sang penyu pula kekal senyap dan tenang begitu. Lautan bergelora ketika hujan rebut petir memang cabaran biasa. Renangannya tetap diteruskan. Berenang tanpa henti selama berminggu-minggu untuk kembali semula ke pantai tempat kelahirannya bagi bertelur zuriat baharu. Kemampuannya mencari arah pulang tanpa bantuan satelit mahupun sistem penentududukan sejagat (GPS) adalah atas faktor pengalaman hidup dan kepakaran yang tidak pernah dicanang-canang. Selepas bertelur, secara senyap dan perlahan-lahan sambil menitiskan air mata, sang penyu kembali ke laut menyambung renangan.

Lihat dan hayati pengorbanan penyu. Kekal tenang, senyap tapi menghasilkan banyak perkara hebat. Tapi berhati-hatilah dengan kebisingan ayam. Riuh tapi kosong. Dalam banyak keadaan, eloklah ayam itu disembelih sahaja buat asam pedas.

ASAM PEDAS