Input your search keywords and press Enter.

Dewan Rakyat Bukan Medan Perlekeh Penjawat Awam

AMAT tidak wajar apabila sesi perbahasan di Dewan Rakyat digunakan wakil rakyat untuk membuat tuduhan tidak berasas kepada penjawat awam.

Hal ini berlaku ketika persidangan Dewan Rakyat pada Rabu minggu lalu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen Malaysia dan ditonton rakyat seluruh negara.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, dalam ucap bicaranya menegur Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang pada pandangannya tidak turun padang dalam suasana COVID-19 yang serius di Sabah.

Lebih malang, beliau berkata, Dr Noor Hisham tidak turun padang kerana beliau ‘takut mati’.

Benarkah Ketua Pengarah Kesihatan tidak turun padang seperti didakwa King Sing?

Pada sesi sidang media selepas pembentangan laporan perkembangan terkini COVID-19 pada petang Khamis lalu, Dr Noor Hisham menjelaskan beliau sudah ke Sabah pada hujung Ogos untuk mengatur gerak kerja petugas barisan hadapan dan memastikan semua persiapan rapi dibuat bagi menangani isu COVID-19 berbangkit.

Beliau juga menyatakan Penasihat Khas Kementerian Kesihatan (KKM) ke Sabah dua minggu lalu. Seterusnya, beliau mengarahkan timbalannya turun ke Sabah minggu lalu.

Justeru, di manakah benarnya tuduhan berniat jahat dibuat itu? Dalam hal ‘takut mati’, Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa sebagai orang Islam, tiada istilah ‘takut mati’ kerana mati boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana sahaja serta bila-bila masa. Orang Islam sentiasa reda dan menerima takdir Allah termasuk kematian.

Lebih mengejutkan, Ahli Parlimen itu mencadangkan supaya office boy atau ‘budak pejabat’ sahaja membaca laporan harian dan Ketua Pengarah Kesihatan tidak perlu mencari publisiti setiap hari seolah-olah mahu menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi seseorang yang pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan dan mengetuai sebuah jabatan kerajaan, amat difahami bahawa bukan tugas ‘budak pejabat’ untuk membentangkan laporan bersifat profesional, penuh dengan data dan statistik serta memerlukan penjelasan berfakta dan tepat.

Jadi, amat hairan sekali apabila hal seumpama ini ditimbulkan Ahli Parlimen yang senior, malah duta bertaraf menteri pula. Apakah tujuan beliau membangkitkan isu ini ke tahap pemikiran begitu rendah? Seterusnya, Ahli Parlimen itu mencadangkan Ketua Pengarah Kesihatan melawat semua hospital di Sabah dan Sarawak.

Persoalan yang timbul di sini, adakah dalam situasi Dr Noor Hisham memang amat perlu berada di ibu pejabat setiap hari bagi mengetuai gerak kerja menangani COVID-19, boleh pula pergi berhari-hari melawat semua hospital di Sabah dan Sarawak? Di mana logiknya cadangan ini?

Di Sabah dan Sarawak, sudah ada Pengarah Kesihatan Negeri masing-masing. Mereka yang sepatutnya memantau dan menggerakkan kerja di ‘padang’ masing-masing.

Sesungguhnya, sebilangan kecil Ahli Parlimen pandai bercakap sahaja, tetapi mereka sendiri pun ada yang tidak turun padang di kawasan masing-masing. Malah, ada juga yang marah kepada rakyat atau orang kampung yang mengadu masalah kepada mereka.

Sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Rakyat, apabila bercakap di Parlimen gunakan bahasa yang baik, berhemah dan berhati-hati.

Jangan sekali-kali menyakiti hati dan menyinggung perasaan orang lain.

Jangan jadikan Dewan Rakyat untuk memperlekeh penjawat awam khususnya petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berkerja siang malam bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara termasuklah kesihatan ahli parlimen.

Jagalah kemuliaan Dewan Rakyat.

Zainal Abiddin Osman,
Pesara pegawai kanan kerajaan